Jumaat, 13 November 2009

Rabu, 21 Oktober 2009

Perwakilan Per.Puteri UMNO Bhg. Puchong Selangor.

PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PUTERI UMNO 2009
PADA: 13&14 OKTOBER 2009
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA KUALA LUMPUR

1.Siti Nozilah Binti Sakimin Ketua
2.Suriyani Binti Md.Alip Naib Ketua
3.Salina Binti Abd Aziz Ketua Penerangan
4.Rosilawati Binti Bahari Ahli Jawatankuasa


Bersama Ketua Pergerakan Puteri Malaysia




UCAPAN DASAR PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2009

KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO

Menggarap 1perjuangan, Mengukuh Puteri, Menjulang Parti

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim,

Assalamualaikum Wrt. Wbt, Salam Perpaduan, Salam 1Malaysia

Y.Bhg. Puan Pengerusi Tetap

Y.Bhg. Puan Timbalan Pengerusi Tetap

Wakil Majlis Tertinggi UMNO Malaysia
Y.B. Dato' Haji Tajuddin bin Abdul Rahman
YB Senator Mejar Jeneral Dato' Jamil Khir Hj Baharom
YB Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Y.Bhg. Puan Shahanim Mohd Yusof,
Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

Y.Bhg. Puan Nor Azita Abdul Rahman
Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

Y.B Dr. Wan Norashikin Wan Nordin
Penolong Bendahari Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

Y.Bhg. Puan Nordiana Shafie
Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

Barisan Exco dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri-Negeri
Perwakilan dan Pemerhati yang dikasihi,

Turut dialu-alukan mantan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia,
Y.B. Datuk Azalina Othman Said dan Y.B Datuk Noraini Ahmad, dan sahabat-sahabat mantan pemimpin dalam pergerakan Puteri yang banyak menabur jasa pada Puteri dan yang tidak jemu memberikan sokongan, nasihat dan teguh berdiri menyokong Puteri,

1. Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, maka dapat kita berkumpul dalam suasana di bulan Syawal yang penuh keberkatan dan nikmatnya ini. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua perwakilan yang berada di dewan yang mulia ini.

2. Puji dan syukur juga ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. kerana di atas semangat perjuangan baginda Puteri hadir untuk meneruskan agenda perjuangan agama, bangsa dan Negara.

3. Saya ingin merakamkan rasa syukur dan terharu kerana pada tahun ini sudah cukup usia Puteri berdiri teguh, segar dan relevan selama 8 tahun dipayungi oleh parti UMNO yang kita cintai dan kasihi.

4. Syukur dan penuh insaf juga kerana perhimpunan ini dapat diadakan dalam suasana aman, tenteram dan harmoni dibawah kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional yang terus gah membawa Malaysia ke persada dunia.

5. Terima kasih diucapkan kepada semua perwakilan di atas semangat, komitmen dan dedikasi untuk memastikan Puteri terus kekal utuh, disegani lawan dan disenangi kawan.

Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,

6. Hampir enam bulan proses pemilihan parti selesai. Ini merupakan ucapan sulung saya sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.

7. Hakikatnya tanggungjawab yang diamanahkan di bahu saya ini amat berat. Menjadi ketua dan pemimpin kepada 320,000 ahli Puteri di seluruh negara bukanlah tugas yang mudah. Ia juga bukan sekadar mengisi kekosongan, bukan sekadar memenuhi rutin pemilihan parti setiap lima tahun. Tugas ini datang bersama kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli Puteri. Justeru saya sama sekali tidak boleh memandang ringan jauh sekali mengejar glamor sebaik sahaja dipilih sebagai ketua puteri.

8. Saya yakin dan percaya ini merupakan platform terbaik untuk saya menyalurkan informasi dan amanat. Saya akan kiaskan pergerakan ini seperti sebuah rumah kediaman, yang sejuk untuk didiami, meriah untuk dikunjungi dan yang elok dipandang mereka yang melintasi. Untuk itu, sebagai asas kepada pembinaan sebuah rumah, strukturnya perlu kukuh dan kuat.

9. Oleh itu adalah menjadi agenda utama saya, bagi meletakkan struktur yang kuat, saya akan memastikan setiap daripada kita memperbaharui tekad untuk memastikan kita terus bersatu di bawah satu perjuangan....1 Malaysia.

Perwakilan yang dikasihi sekalian,

10. Agenda penyatuan dan pengukuhan kekuatan ahli Puteri tidak akan dapat diteruskan tanpa sokongan dan kerjasama adik-adik semua. Selagi masih ada cakap-cakap di belakang, selagi itulah penyatuan dan perpaduan tidak dapat dilaksanakan. Selagi tiada keikhlasan di kalangan kita untuk menggerakkan agenda Puteri sebagai sayap parti, selagi itulah kita tidak akan berjaya melaksanakan amanat pucuk pimpinan yang mahu Puteri menyumbang kudrat serta buah fikiran demi masa depan UMNO - parti yang menjadi tempat kita - umat Melayu bergantung dan berteduh.

11. Sebab itu saya amat percaya bahawa tidak boleh ada 'gunting dalam lipatan' dalam Puteri UMNO. Jangan ada yang menjadi api dalam sekam - perlahan-lahan 'membakar' dan menyemarakkan api kebencian sesama kita dan membenci pemimpin, sehingga merungkai tali perpaduan dan kasih-sayang yang selama ini menjadi pengikat kepada keutuhan dan kejituan pergerakan ini.

12. Kita terpaksa menyentuh soal perpaduan, sokongan serta kesetiaan kepada pemimpin. Kita tidak mahu pergerakan kita ini yang ditubuhkan untuk menguatkan parti menjadi beban pula kepada UMNO. Puteri sepatutnya bergerak menggempur musuh-musuh kita di luar sana. Bukannya berdendam dan bercakaran sesama sendiri. Kalau kita asyik bergaduh dan berbalah sesama kita, siapa yang akan untung? Musuh kita di luar sana juga yang akan untung. Sebab itu bibit-bibit perpecahan ekoran pemilihan dahulu tidak boleh dibiarkan bersisa dalam pergerakan ini. Setiap daripada kita kena ketepikan kepentingan dan agenda peribadi. Sekali lagi saya tegaskan, pemilihan sudah berlalu.

13. Kini adalah masa untuk kita merapatkan barisan. Mengeratkan persaudaraan dan menumpukan kepada agenda kita - agenda untuk mengukuhkan parti, bangsa dan agama. Itu matlamat perjuangan kita. Itu selari dengan suruhan agama kita. Akhirnya, itulah matlamat wujudnya pergerakan ini. Itulah budaya terapan kita. Jika sisa perpecahan itu kita biarkan merebak dan menjadi kudis... Akibatnya amat parah.

14. Kerja-kerja dalam Pergerakan Puteri tidak dapat dilaksanakan. Program-program yang dirancang dilihat gagal menyusur ke akar umbi - mengapa jadi begini? Kerana antara kita masih ada yang gah mengangkat perjuangan peribadi, menongkat kepentingan diri dan membelakangkan parti, natijahnya Puteri bukan sahaja jauh di mata tapi nun jauh dari hati....

15. Justeru saya memohon dan menyeru supaya adik-adik dalam Puteri matang serta bijak mengimbangi antara perjuangan parti dan kepentingan peribadi - yang mana satu hendak diberi keutamaan. Kalau perjuangan yang diutama. Pergerakan kita akan kuat. Tetapi jika matlamat peribadi yang dikejar. Kita tidak akan ke mana. Seperti kata orang Sabah, maju ke depan kita ampai-ampai, mundur ke belakang kita lugai-lugai.

16. Hanya dengan bersikap matang dan bersatu kita dapat membuktikan bahawa pergerakan kita relevan. Barulah pergerakan kita selayaknya mendapat pengiktirafan sebagai satu sayap yang suaranya didengari - kehendaknya dihormati - yang pandangannya diperakui.

17. Kita mesti merenung dan menilai adakah selepas lapan tahun kita mempunyai arah tuju yang benar-benar menyokong perjuangan parti kita? Adakah kita berperanan sebagai pergerakan generasi muda yang prihatin terhadap perjuangan agama, bangsa dan negara? Atau kita hanya menjadi penonton dan kadangkala langsung tidak kisah apa itu kepentingan bangsa jauh sekali memikirkan perihal kedudukan agama.

18. Sedangkan cabaran yang menunggu kita setiap hari sangat besar. Ahli-ahli pergerakan Puteri yang dikategorikan sebagai orang muda, cantik, pandai bergaya, berpendidikan tinggi mesti peka kepada tuntutan semasa. Kita mesti memastikan bahawa ketika kita mencalit gincu di bibir - perihal bangsa dan agama mesti dipalit di fikiran kita. Ketika kita petah berbicara tentang dunia fesyen dan hiburan, kita tidak patut lupa nasib bangsa. Kedudukan kita semakin tidak selesa berikutan ungkitan demi ungkitan membabitkan perkara-perkara yang telah pun dipersetujui dalam Perlembagaan.

19. Kita mahu buktikan yang kita bukan sekadar tempelan, kekuatan yang ada pada kita bukan sekadar untuk berkempen merayu undi ketika pilihan raya. Tetapi kita juga kena terbabit dalam perkara penting. Jangan pula apabila membabitkan bab yang yang lebih besar kita dipinggirkan. Kita mahu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan dua lagi sayap UMNO iaitu Pemuda dan Wanita.

20. Jika mereka menjadi sayap, kita juga mesti terbang dengan sayap itu. Jika mereka menjadi tulang belakang, biarlah kita kekal menjadi tulang rusuk yang menjadi rasuk yang mengukuh. Rasuk pada tiang seri sebuah rumah yang kukuh berdiri tanpa sebatang pun paku. Kita bukan pesaing sayap lain, malah Puteri adalah pengukuh dan penyokong. Kita juga ada perjuangan untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara.

21. Saya percaya, malah saya yakin bahawa cabaran untuk menjadikan pergerakan ini terus relevan datang dari dalam Puteri sendiri. Kita tidak perlu mencari orang lain, atau menyenaraikan faktor luar sebagai punca pergerakan ini lemah. Ini kerana segala puncanya adalah dari dalam pergerakan kita sendiri. Kelemahan ini yang mesti segera kita perbaiki dan kita perbetulkan. Kita lemah bukan kerana pembangkang. Hakikatnya kitalah yang menjadi penentu jatuh bangunnya pergerakan kita. Dalam hal ini adalah penting untuk kita duduk merenung dan menilai arah tuju pergerakan kita. Tidak salah kita bermuhasabah diri..

PINDAAN PERLEMBAGAAN

Perwakilan yang dikasihi sekalian,

22. Kita berterima kasih kepada pucuk pimpinan kerana tampil dengan cadangan pindaan perlembagaan parti. Kita percaya cadangan ini jika diterima dan diluluskan kelak UMNO akan menjalani transformasi.

23. Transformasi itu akan menjadikan UMNO parti yang benar-benar mewakili setiap golongan di peringkat akar umbi.

24. Paling penting penglibatan golongan muda dipertingkatkan. Dengan menjadikan Ketua Puteri Cawangan dan Ketua Pemuda Cawangan secara automatik sebagai perwakilan ke bahagian maka golongan muda akan membentuk satu angka atau kumpulan yang signifikan dalam parti.

25. Selain itu lebih ramai ahli terlibat dalam pemilihan jawatan presiden serta semua jawatan tertinggi parti menjadikan pemimpin UMNO adalah gambaran sebenar pemimpin yang dikehendaki oleh rakyat.

26. Cadangan ketua sayap secara automatik menjadi perwakilan ke bahagian membolehkan mereka lebih berperanan dan mempunyai kuasa untuk memilih dari jawatan tertinggi parti sehingga ahli-ahli Majlis Tertinggi. Ini bermakna kuasa memilih pucuk kepimpinan parti tidak lagi berada di tangan hanya 2,500 orang perwakilan sebaliknya ia akan diturunkan kepada 150,000 perwakilan di 191 mesyuarat perwakilan bahagian.

27. Kaedah baru ini bukan saja akan membendung gejala politik wang, malahan ia juga menjadikan UMNO parti yang benar-benar serius mahu melibatkan ahli-ahli mengambil bahagian dalam struktur dan proses membuat keputusan.

28. Begitu juga dengan pindaan bagi membolehkan ketua sayap cawangan boleh menandatangani borang untuk permohonan ahli baru memudahkan orang ramai untuk menjadi ahli UMNO. Langkah ini menjadikan UMNO tidak eksklusif untuk golongan tertentu sahaja.

29. Kesemua pindaan ini penting untuk membolehkan jangka hayat UMNO bertahan sebagai sebuah parti yang memenuhi aspirasi rakyat. Ia juga amat relevan untuk memastikan kesinambungan UMNO sebagai sebuah parti yang menjiwai keperluan golongan muda. Dengan perubahan ini UMNO akan kembali mendukung asas perjuangannya untuk mengangkat martabat agama, bangsa dan negara.Hakikatnya transformasi parti menuntut kita sebagai ahli mengikat akujanji bahawa kita mesti berubah - bukan setakat cuba berubah atau kena berubah.

30. Perubahan itu bermula di peringkat minda. Disusuli pula dengan menggerakkan jentera parti kita sehingga ke peringkat akar umbi. Inilah masanya untuk kita membetulkan semula landasan perjuangan kita. Sebagai sayap yang mewakili generasi muda inilah peluang untuk kita membuktikan peranan kita. Peranan untuk memasyarakatkan UMNO. Peranan untuk merakyatkan UMNO dan peranan untuk mengakarumbikan UMNO.

31. Transformasi ini juga menuntut kita membuktikan bahawa parti kita bukan eksklusif sifatnya - jauh sekali kita bersifat elitis, sebaliknya sifat parti kita adalah inklusif - berkhidmat untuk semua.Oleh itu gerak kerja jentera pergerakan kita mesti ke arah itu. Kita tidak boleh menjadi umpama kad touch n go - berkobar-kobar semangat semasa mendengar pemimpin berucap, sebaik sampai ke bahagian atau cawangan, kita hilang kesungguhan.

32. Inilah perubahan, inilah iltizam. Inilah kehendak rakyat, inilah keazaman yang mesti ada pada setiap pemimpin.Setiap daripada kita mesti diikat dengan rasa takut, rasa gerun atau fear factor akan cabaran-cabaran yang ada di keliling kita. Hanya dengan mempunyai kegerunan dan kebimbangan maka kita akan bekerja keras demi menyelamatkan parti, demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara.

33. Kita mesti mengakui bahawa sindrom selesa hanya akan menjahanamkan parti, meletakkan parti dalam bahaya.Sebab itu kita kena bekerja keras tanpa mengenal penat dan lelah, kita tidak boleh berputus asa, kita tidak boleh cepat mengaku kalah dalam usaha untuk menarik sokongan ahli-ahli baru di luar sana.

KEMPEN KEAHLIAN

Yang dihormati perwakilan sekalian,

34. Apabila kita bercakap mengenai mendapatkan keahlian automatik maka kita mesti bersatu untuk memastikan kita mempunyai alasan terbaik untuk berbuat demikian. Kita kena pastikan bahawa kita selayaknya memperjuangkan tuntutan tersebut. Kita mesti menyakinkan pucuk pimpinan parti bahawa tuntutan kita wajar.

35. Apa gunanya kita memperjuangkan keahlian automatik ahli-ahli Puteri jika kita sendiri enggan melaksanakan segala program yang telah dirancang. Apa gunanya kita melanjutkan usia untuk berada dalam Puteri jika kita sendiri enggan menjadi matang dan bersikap ambil mudah, memandang ringan sehingga ke satu peringkat enggan menghormati tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita. Yang paling penting apa guna kita minta dan desak itu dan ini jika kita tidak bersatu dan berhasad dengki serta iri hati sesama sendiri. Tepuk dada tanyalah selera.

Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,

36. Sebab itu suka saya mengingatkan adik-adik saya semua bahawa tugas dan tanggungjawab kita hakikatnya tidak mudah untuk digalas. Tugas dan tanggungjawab kita amat besar - pengajaran Mac 2008 dan siri kekalahan dalam enam pilihan raya kecil selepasnya bukan hanya untuk difikirkan oleh pimpinan kita.

37. Kita generasi muda yang ingin digelar sebagai generasi prihatin mesti berkongsi beban untuk belajar daripada 'tragedi' itu. Kita mesti akui sebahagian daripada punca kemerosotan prestasi kita disebabkan oleh 'kegagalan' kita untuk mendapatkan keyakinan golongan muda. Kita gagal memastikan orang muda supaya memihak kepada kita. Sedangkan lebih 40 peratus pengundi adalah di kalangan usia kita. Kita tidak boleh sekadar menjadi penonton kepada episod sedih jatuhnya lima negeri ke tangan pembangkang. Tak kan kita hendak tengok saja parti yang kita dokong dan yang kita sayang ini kalah satu demi satu pada pilihan raya kecil. Daripada sembilan pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya UMUM 2008, kita hanya menang di DUN Batang Ai dan DUN Bagan Pinang.

38. Ini bukan satu pencapaian yang baik dalam sejarah perjuangan parti kita. Dan kita yang merupakan pendokong UMNO dan penggerak BN tidak boleh sekadar menjadi penonton. Kita juga tidak boleh duduk meratapi apa yang berlaku itu. Kita kena bangkit kembali menggunakan segala kekuatan dan kelebihan yang ada pada kita untuk meraih sokongan rakyat kepada parti. Puteri mesti bergerak aktif mencari ahli baru. Jika SPR mengakui DAP dan Pas paling aktif mencari pengundi baru, maka Puteri mesti bertindak lebih agresif untuk mencapai matlamat itu. Masa kita tidak panjang. Sehari kita bertangguh, mungkin kita terlepas berpuluh ahli baru.

39. Maka untuk menyemarakkan proses pencarian ahli baru, suka saya mengumumkan bahawa Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan melancarkan Program 'Menjejaki Puteri' bertujuan menambah keahlian Puteri dan proses penilaian program tersebut akan bermula pada 1hb November 2009 dan berakhir pada 31hb Mei 2010.

Adik-adik yang dihormati,

PENDIDIKAN

40. Sebagai asas sebuah kediaman, lantainya perlulah kukuh untuk dipijak, padat berisi simen berkualiti agar tak lekang dek zaman, tak rekah dek berantakan. Begitulah nilainya pada satu sirah bernama sejarah. Sejarah adalah pengalaman, manusia belajar melalui pengalaman. Sejarah menjadi ibu kepada semangat, semangat dan jati diri seseorang manusia. Sejarah juga adalah asas kepada patriotism. Dalam konteks ini saya ingin menyentuh tentang pentingnya di kalangan ahli-ahli pergerakan Puteri UMNO ini menjadikan sejarah sebagai benteng untuk kita mempertahankan jati diri kita.

41. Mata pelajaran sejarah haruslah diajar di peringkat rendah lagi. Mata pelajaran itu juga mesti diwajibkan bukan untuk peperiksaan tetapi untuk memastikan rakyat Malaysia tanpa mengenal batas kaum dan agama sedar akan latar belakang masing-masing. Mata pelajaran sejarah mesti diajar dengan mengaitkannya dengan perkembangan semasa supaya kepentingannya dapat difahami. Buku teks sejarah mesti diberi nafas baru, bukan sekadar menceritakan kronologi sejarah negara dari zaman batu atau kehebatan Hang Tuah dan bermulanya penjajahan Portugis tanpa diselongkar apa pengajaran di sebaliknya. Teks sejarah yang terlalu menekankan fakta membosankan pelajar.

42. Sejarah mesti diberi layanan sama penting dengan mata pelajaran teras seperti sains, matematik dan bahasa. Guru-guru mata pelajaran sejarah mesti menjadi lebih kreatif. Sukatan pelajaran mesti lebih menarik dan bersifat interaktif. Ini supaya murid-murid dapat menghayati kepentingan mata pelajaran tersebut. Sejarah boleh diajar menggunakan kecanggihan teknologi biar pun orang kata sejarah dan teknologi melanggar tradisi. Hakikatnya tidak terhakis sejarah jika proses mengangkat martabatnya menggunakan teknologi termasuk komputer, multimedia dan macam-macam lagi.

43. Dan usaha ini tidak boleh dilengahkan lagi. Hanya mereka yang menghormati sejarah, menilai erti sejarah dapat mencipta sejarah, pengamat sejarah yang mencipta sejarah, untuk itu biarlah Puteri mencipta sejarah dengan menyokong penambahbaikan pembelajaran dan pengamatan matapelajaran sejarah di sekolah.

PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,

44. Bercakap mengenai pengajaran dan pembelajaran di peringkat awal usia termasuk bagi mata pelajaran Sejarah, ia menarik perhatian saya terhadap program Permata Pintar Negara yang dinaungi oleh wanita pertama kita Yang Amat Berbahagia Datin Seri Rosmah Mansor.

45. Program ini juga penting bagi memastikan pelajar dalam kategori pintar dan cerdas baik di bandar mahu pun luar bandar mendapat bimbingan yang betul. Kita pernah mendengar kisah kanak-kanak cerdik dan pintar seperti Hadafi yang akhirnya tercicir dalam semua bidang gara-gara ketiadaan bimbingan dan hala tuju. Lebih malang lagi ada yang menjadi mangsa gara-gara tersilap bimbingan menjadikan masa depan mereka yang sepatutnya cerah bertukar menjadi gelap.

46. Saya yakin program seperti ini wajar diperluaskan. Dan ibu bapa sewajarnya memberi sokongan dengan menghantar anak-anak mereka yang diyakini termasuk dalam kategori pintar dan cerdas menjalani ujian saringan. Seperti yang ditegaskan oleh YAB Datin Seri Rosmah terdapat lebih 140,000 pelajar dalam kategori tersebut tetapi cuma 20,000 yang tampil menjalani ujian saringan sejak program itu digerakkan pada 2 Mac tahun ini.

47. Untuk itu, bagi mempergiatkan lagi aktiviti dalam khidmat kemasyarakatan Puteri UMNO akan bertindak selaku peneraju sukarelawan dalam program yang dianjurkan oleh Permata Negara. Kita akan sama-sama membanting tulang, mengerah keringat untuk memastikan agenda memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak dapat dijayakan.

KEMISKINAN BANDAR

Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,

48. Bercakap mengenai pendidikan, ia mempunyai kaitan rapat dengan usaha memastikan rakyat Malaysia dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan sejahtera dan harmoni. Tanpa pendidikan, peluang setiap daripada kita untuk menikmati hidup yang lebih baik menjadi sangat terhad. Tanpa pendidikan boleh menyebabkan kemiskinan.

49. Jika dulu kita bercakap mengenai kemiskinan luar bandar kini penyakit tersebut sudah melimpah ke bandar. Kesan kemiskinan bandar sangat ketara baik dari segi ekonomi mahu pun sosial. Malah jika tidak dibendung ia sangat merbahaya. Punca kepada peningkatan penyakit kemiskinan bandar ini mesti dikenal pasti. Masalah tersebut mesti segera diatasi terutama bagi menjayakan hasrat Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.

50. Langkah bersepadu ke arah membasmi kemiskinan bandar tidak boleh menunggu lama untuk dilaksanakan. Jika tidak kesannya cukup buruk kepada masyarakat kita. Umpama sebuah tingkap pada sebuah rumah, lolos dan mudah dibolosi. Peningkatan kadar jenayah seperti ragut, pecah rumah, rogol, bunuh, penagihan dadah dan masalah sosial seperti mat rempit, bohsia, bohjan dan segala macam 'boh' lagi, kebanyakannya berpunca daripada kemiskinan bandar. Apatah lagi dalam keadaan dunia dilanda krisis ekonomi sekarang ini, tempiasnya turut dirasai oleh Malaysia.

51. Seperti yang ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, negara kita berpotensi menduduki tiga tangga teratas dalam senarai negara-negara di dunia yang mencatatkan penghijrahan penduduk paling tinggi dari luar bandar ke bandar. Tidak ada negara lain yang mencatatkan penghijrahan sedemikian rupa. Paling ramai yang berhijrah semestinya terdiri daripada golongan muda.

52. Untuk itu, usaha yang menyeluruh perlu dibuat untuk kita mengenal pasti bantuan dan sokongan yang boleh dihulurkan bagi mengurangkan bebanan mereka yang terlibat. Saya begitu terharu dan tersentuh dengan konsep tinjau mesra atau walk about yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Di mana melalui tinjau mesra atau walkabout ini kita dapat mendengar, melihat dan merasai keperitan hidup di bandar dengan lebih telus dan terus. Izinkan saya memetik ucapan beliau, iaitu "Rakyat tidak boleh berbangga hanya semata-mata kerana Kuala Lumpur mempunyai bangunan pencakar langit, lebuh raya dan jalan yang cantik serta gedung beli-belah mewah kerana itu hanya sebagai pelengkap kepada kota raya moden. Sesebuah kota raya hanya boleh dijadikan kebanggaan apabila keadaan rakyat biasa diambil kira dan mereka bebas daripada sebarang kesempitan hidup."

53. Di sinilah cabaran yang mesti digalas Puteri. Kita mesti bersama-sama Kerajaan meminimumkan kesan penghijrahan terutama dari sudut sosial. Kita mesti merangka program-program yang dapat membantu orang muda yang berhijrah ke bandar agar jati diri mereka tidak tersasar.

EKONOMI MELAYU

Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,

54. Kita tentu tidak lupa kenyataan bahawa kaum Melayu adalah kumpulan terbesar penduduk di negara ini yang pendapatannya di bawah RM1,000. Keadaan ini cukup untuk menggambarkan kedudukan sebenar ekonomi orang Melayu di Malaysia.

55. Sememangnya usaha untuk membantu meningkatkan ekonomi Melayu telah dilaksanakan sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan. Langkah-langkah merangsang ekonomi Melayu juga disusun rapi supaya manfaatnya sampai ke akar umbi.

56. Persoalannya di tahap mana penguasaan ekonomi Melayu? Pastinya belum menjangkau angka atau sasaran 30 peratus. Adakah keadaan ini disebabkan oleh kelemahan Melayu itu sendiri? Yang pasti Melayu bukan bangsa yang lemah. Melayu begitu masyhur. Melayu satu masa dulu terkenal dengan kekuatannya, Melayu juga pernah digelar pembina empayar. Oleh itu tidak ada kaitannya dengan tahap pencapaian ekonomi Melayu sekarang ini. Cumanya daya saing Melayu mesti dipertingkatkan supaya kita lebih bersedia untuk menyahut cabaran yang lebih besar ke arah memperkukuhkan ekonomi.

57. Jika kita tegar memartabatkan ketuanan Melayu maka kita juga mesti tegar memastikan kita bergerak cergas untuk meningkatkan penguasaan ekonomi. Kita belum berjaya mencapai sasaran 30 peratus bukan kerana kerajaan tidak menyediakan dasar ke arah itu, tetapi kerana kita tidak berasa tercabar dan tidak berkobar-kobar untuk mencapai matlamat tersebut.

58. Suka saya menyentuh mengenai penubuhan Ekuiti Nasional (Ekuinas) yang menjadi mekanisme untuk memastikan ekuiti bumiputera mencapai paras 30 peratus. Usaha ke arah itu akan dapat digerakkan dengan lebih berkesan dan menyeluruh. Matlamat kerajaan selama ini untuk melihat usahawan bumiputera maju dapat direalisasikan dalam tempoh yang lebih singkat.

59. Ekuinas akan mewujudkan daya saing di kalangan usahawan bumiputera dan menjadi modal utama untuk menggerakkan mereka ke peringkat yang lebih cemerlang. Bagaimanapun penubuhan Ekuinas yang mendapat sambutan memberangsangkan dari pelbagai pihak akan menjadi sia-sia jika pelaksanaannya tidak dipantau dengan berkesan.

60. Penglibatan usahawan bumiputera mesti dipantau dan digerakkan supaya mereka benar-benar mengambil bahagian untuk memanfaatkan modal yang disediakan menerusi Ekuinas agar matlamat penubuhannya tercapai dan hasrat melihat pemilikan ekuiti bumiputera mencapai tahap 30 peratus menjadi kenyataan.

BAHASA

Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,

61. Dalam kepelbagaian yang diperkenalkan dalam konsep1 Malaysia seharusnya kita berbangga dengan realiti pelbagai bangsa, agama dan bahasa yang wujud di Malaysia. Tidak salah dan seharusnya kita mempelajari dan menguasai bahasa-bahasa lain namun usaha memartabatkan bahasa Melayu dan mengangkat bahasa kita ke tempatnya mesti dihormati.

62. Saya tertarik membaca saranan Persatuan Penulis Perlis (3P) baru-baru ini supaya istilah bahasa Melayu digunakan semula menggantikan bahasa Malaysia.

63. Perkara ini telah jelas disebut dalam Perkara 152(1) - bahawa Bahasa Kebangsaan adalah Bahasa Melayu. Justeru tidak perlu dibangkitkan siapa atau kepentingan politik apa yang digunakan untuk mengubah istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia.

64. Ini kerana tuntutan asal penubuhan negara menggariskan hanya bahasa Melayu menjadi bahasa Kebangsaan - satu tuntutan yang amat kuat kesannya jika dilihat daripada pelbagai sudut.

65. Namun begitu, Bahasa Melayu kononnya menjadi tidak sesuai dengan kerencaman bangsa di negara ini selain tidak seiringan dengan cita-cita mahu mewujudkan bangsa Malaysia yang selayaknya menggunakan bahasa Malaysia. Kononnya juga apabila disebut bahasa Malaysia, maka dunia luar akan menggambarkan satu bahasa yang digunakan oleh bangsa Malaysia sedangkan hakikatnya tidak begitu.

Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,

66. Saya berasa bimbang kerana wujud kecenderungan di pihak Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memelayukan istilah-istilah Bahasa Inggeris sehingga mengehadkan penggunaan bahasa kita sendiri. Perkataan seperti momen, moral, motif, motel, polisi, total dan banyak lagi sedangkan kesemua istilah itu ada bahasa Melayunya.

67. Saya merasakan bahawa daripada kita memelayukan bahasa Inggeris tentu lebih baik kita mengambil dan mengangkat bahasa-bahasa daerah, bahasa suku kaum bagi menambah perbendaharaan kata.

68. Kita mesti yakin dan percaya bahawa kekuatan sesuatu istilah datang daripada penggunaan istilah tersebut. Jika kita sendiri beriya-iya menggunakan istilah Inggeris yang dimelayukan maka akan kuatlah istilah tersebut. Akan diangkatlah istilah tersebut terutama kalangan generasi muda yang tidak pernah didedahkan dan dikayakan dengan istilah-istilah dalam Bahasa Melayu.

PEMBANTU RUMAH SEBAGAI KERJAYA

Para perwakilan yang dikasihi,

69. Saya juga ingin menarik perhatian isu terbaru hubungan Malaysia - Indonesia khususnya berkaitan pembantu rumah. Bermula dengan 'ugutan' mahu membekukan kemasukan pembantu rumah. Kemudian ada pula desakan supaya pembantu rumah-pembantu rumah diberi cuti sehari dalam seminggu. Lepas itu mereka dibenarkan pula memegang pasport. Terbaru pembantu rumah Indonesia mahu dibayar upah RM600!

70. Bukanlah semua tapi segelintir dari mereka seringkali membuat desakan. Bukanlah niat kita menambah api dalam bara, namun yang nyata perlu kita zahirkan dan uar-uarkan. Kita bersaudara...masakan tidak? Bila kejadian gempa bumi di Padang, Malaysia merupakan antara Negara terawal dan terpantas menghantar misi bantuan ke sana. Sedangkan lidah lagi tergigit, namun air ditetak tidak akan putus...Dalam isu ini memang ada sedikit perbezaan antara orang Malaysia dengan segelintir rakyat Indonesia. Sudah terang lagi bersuluh, isu kemasukan pembantu rumah melambangkan kesombongan dan keangkuhan mereka yang terlibat dari Negara jiran kita dalam membuat permintaan melampau. Ini didorong keyakinan bahawa urusan seharian sebahagian besar daripada kita akan tergendala tanpa khidmat pembantu rumah Indonesia!

71. Saya tidak menolak kemungkinan ada wujud tangan-tangan ghaib yang hebat dan ajaib dari segelintir orang-orang Malaysia yang hendak menjahanamkan Negara. Sebab itu orang luar berani meletakkan syarat itu dan ini. Kononnya untuk menjaga kebajikan pembantu rumah-pembantu rumah mereka di sini. Kita minta kerajaan Malaysia supaya tidak bertolak ansur menuruti syarat-syarat tersebut lantaran kesan negatif yang bakal menimpa majikan pembantu rumah-pembantu rumah sangat jelas.

72. Sepatutnya setiap rundingan memberi kemenangan kepada pembantu rumah dan majikan - bukannya seperti perumpamaan kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kelaparan! Sebab itu kita mahu kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia menetapkan pendirian. Segala syarat baru yang ditetapkan kelak tidak boleh dipersetujui begitu sahaja. Kerajaan mesti menunjukkan ketegasan. Dalam hal ini kebajikan majikan di negara ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,

73. Kita ingin menyaran kepada Kerajaan:

i. Kita mesti menggandakan usaha menjadikan pembantu rumah sebagai kerjaya yang menarik. Istilah babu dahulu kini ditukar kepada orang gaji, kemudian pembantu rumah. Untuk menjadikannya lebih menarik apa kata kita perkenalkan istilah baru- jururunding rumah ke, penyelia rumah tangga, pembantu domestik atau lain-lain.
ii. Begitu juga dengan negara sumber mesti dipelbagaikan. Kemboja misalnya boleh menjadi negara sumber baru. Agensi-agensi pembantu rumah mesti kreatif. Jangan bergantung kepada Indonesia semata-mata. Paling penting - sumber pembantu rumah tempatan mesti dicari, dilatih dan dipupuk minat mereka.
iii. Untuk percubaan perkenalkan dahulu pembantu rumah tempatan yang berkhidmat mengikut jam. Kemudian cuba pula mengikut hari atau secara mingguan. Di situ pembantu rumah tempatan boleh membuat penilaian.

AGAMA

Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,

74. Dalam kita meneruskan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara - contoh kepimpinan paling sempurna yang mesti menjadi sumber rujukan kita ialah junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Baginda telah menunjukkan contoh yang baik sebagai pemimpin negara.

75. Seharusnya sebagai pemimpin kita tidak harus menunjukkan contoh yang tidak baik, apalagi berbicara secara tidak sopan, menggunakan kata-kata kesat dan kasar, memaki hamun, ataupun membenarkan orang lain menggunakan bahasa lucah, carutan, ungkapan-ungkapan kotor dan najis yang amat menjijikkan, kononnya atas nama keadilan dan ''jihad''.

76. Jika kita lihat, penerapan nilai Islam dalam dasar-dasar dan pelaksanaan aktiviti Kerajaan semuanya dicetuskan oleh kerajaan pimpinan UMNO. PAS hanya menggunakan agama sebagai laungan kekuatan mereka. Banyak yang haram dihalalkan, banyak yang makhruh dibolehkan.

77. Inilah natijah apabila agama dicampur adukkan dengan politik kumpulan pelampau. Rakyat harus bijak memastikan maklumat daripada mereka dengan berbalik kepada ajaran Islam yang sebenar, berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Bukan ajaran Islam anjuran PAS. PAS hanya bijak memfitnah, menghasut dan mengkaburi pemikiran orang ramai mengenai kepimpinan BN dan UMNO.

78. Saya percaya sekiranya ilmuan dan tokoh agama di dalam UMNO bersatu untuk melatih generasi muda dalam ilmu agama secara menyeluruh serta amalan Islam secara teratur dan berkesan, nescaya benteng UMNO tidak akan dimakan oleh rencah fitnah pembangkang.

KESIHATAN

Para Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,

79. Apabila kita bercakap mengenai kualiti kesihatan masyarakat di negara ini ianya juga merupakan satu tanggungjawab dan cabaran yang besar yang harus dipikul bersama. Sebagai sebahagian daripada peneraju rumahtangga kita perlu mempastikan anak-anak atau ahli keluarga kita memiliki kualiti kesihatan yang tinggi. Situasi ini disebabkan kesihatan yang sempurna turut mempengaruhi produktiviti negara.

80. Oleh hal yang demikian, kita tidak harus meletakkan tanggungjawab meningkatkan kualiti kesihatan masyarakat di negara ini di bahu pihak kerajaan semata-mata. Namun ruang untuk penambah baikan masih ada. Saya melihat isu kekurangan anggota kesihatan, mengekalkan mereka dan isu taburan anggota yang tidak sekata sebagai antara isu yang amat wajar diberi penekanan.

81. Jika dilihat, Kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif untuk menggalakkan kemasukan dalam bidang perubatan dan sokongan perubatan, namun jumlah kemasukan masih kecil terutamanya bagi orang Melayu. Pelbagai usaha dijalankan untuk memberi peluang kepada orang Melayu untuk menceburi bidang ini tapi permintaan agak hambar.

82. Mengapa ini terjadi? Mengapa kaum-kaum lain berkejar-berkejaran untuk menawarkan diri menceburi bidang perubatan, sedangkan kita hanya kekal sebagai pesakit sahaja. Saya merasakan bahawa sikap ini perlu diubah dan anak-anak haruslah diberi galakan untuk menceburi kepakaran ini kerana bukan sahaja ianya satu bidang yang menjamin masa hadapan malah ianya merupakan satu aset kepada Negara.

83. Kita harus melihat bidang perubatan dan kesihatan ini sebagai satu bidang yang luas dan banyak cabangnya. Jika dulu, bila orang sakit mereka mencari dukun dan bidan Melayu. Bidang perubatan tradisional yang dipelopori oleh orang Melayu satu ketika dulu dikenali dan diyakini ramai. Budaya amalan perubatan ini cukup sinonim dengan masyarakat Melayu.

84. Kini, ianya makin terhakis ditelan dek zaman. Bagi memartabatkan kembali amalan perubatan dan mengupayakan kepakaran masyarakat Melayu, kita cadangkan agar sebuah Universiti Perubatan Melayu yang pertama diwujudkan. Selain mengkaji amalan tradisional dan perubatan komplementari, universiti ini juga merupakan platform bagi anak-anak Melayu meneruskan legasi dalam bidang perubatan.

1MALAYSIA

Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,

85. YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan Hari Kemerdekaan ke-52 ada menyebut: "Cabaran terbesar rakyat Malaysia hari ini ialah untuk membaik pulih jambatan yang sedia ada di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah yang wujud di antara kaum". Kata-kata itu amat berkait rapat dengan Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan YAB Perdana Menteri yang juga Presiden parti kita. Saya melihat konsep ini sebagai sebuah bumbung yang melindungi dan memayungi kediaman kita... bumbung tempat berteduh, basah dan hujan, ribut dan badai...

86. Setiap daripada kita mesti menghayati apa itu gagasan 1Malaysia. Apa bezanya 1Malaysia dengan Malaysia Malaysian. Pemahaman ini penting. Ini kerana kita semua ahli-ahli Puteri menjadi antara penggerak kepada usaha memahamkan akar umbi tentang gagasan 1Malaysia.

87. Usaha itu penting kerana ada pihak yang cuba mencucuk jarum untuk mengelirukan rakyat tentang 1Malaysia. Kononnya 1Malaysia menyamaratakan semua penduduk di negara ini dengan mengetepikan hak kaum-kaum tertentu. Hakikatnya gagasan itu tidak begitu. Gagasan itu bertujuan mengekal dan meningkatkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Kepelbagaian kaum yang sepakat yang selama ini berjaya diurus dengan baik dan menjadi kekuatan Malaysia perlu dikekalkan sebagai keunikan yang akan memacu kita ke arah sebuah negara maju.

88. Kekuatan inilah yang cuba digembleng dan disuburi dengan lebih giat oleh kerajaan memandangkan perubahan zaman yang semakin komplek menyaksikan lebih banyak cabaran dan ketidakpastian perlu ditempuh oleh negara dan rakyat.

PORTAL PUTERI UMNO MALAYSIA

Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,

89. Perkembangan pesat ICT telah mendedahkan rakyat dengan teknologi maklumat dan komunikasi seperti internet dan laman blog yang menjadi saluran utama dan media alternative dalam menyebarkan pelbagai maklumat, baik yang sahih, mahupun spekulasi, provokasi, fitnah atau maklumat yang berbaur hasutan yang acapkali mempengaruhi pemikiran rakyat. Hal ini banyak merubah pola pemikiran rakyat khususnya golongan muda dan menjadikan mereka semakin kritis dalam berfikir.

90. Pada hari ini, kita telah melangkah setapak lagi dalam mengemudi Puteri UMNO di medan teknologi dan perkembangan maklumat global. Sebagai sayap perjuangan yang penting untuk menawan hati generasi muda, tiada apa yang lebih membanggakan saya jika setiap dari kita mampu menguasai bahasa dan lenggok gaya arus maklumat ini. Oleh itu, laman Portal Puteri UMNO Malaysia diwujudkan. Kewujudan Portal ini adalah cetusan yang dizahirkan oleh pucuk pimpinan Negara agar Puteri UMNO sentiasa up to date, melangkaui zaman dan menjadi penghubung kepada generasi muda.

91. Untuk makluman sidang perwakilan, laman portal ini selain menjadi landasan kepada penyampaian maklumat penting kepada ahli-ahli parti, malah ianya boleh diakses oleh orang awam untuk mengikuti perkembangan aktiviti Puteri di setiap cawangan dan bahagian di seluruh Negara. Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua perwakilan agar menggunakan laman portal tersebut dengan sebaik-baiknya. Jadikanlah ia ruangan promosi aktiviti cawangan dan bahagian, gunakanlah ia sebagai media alternatif dalam interaksi maklumat dan isu. Manfaatkanlah Portal Puteri UMNO Malaysia.

KESIMPULAN

Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,

92. Lengkaplah sudah kediaman yang saya sebutkan awal tadi. Kita haruslah hiasinya dengan baik, agar kediaman yang kita huni ini memberi tarikan untuk ramai berkunjung dan memeriahkan suasana. Jika cukup semua ramuan-ramuan ini, kita elakkan lah pahat berbunyi. Kita harus sedar dan insaf bahawa kita sedang mendepani cabaran-cabaran yang lebih besar dan hebat.

93. Untuk itu, saya ingin mengingatkan Puteri bahawa kita harus sentiasa berpegang kepada matlamat perjuangan asal kita. Tak guna saya mengulangi hingga berbuih-buih mulut sekiranya adik-adik sekalian tidak memulakan dengan niat hati yang telus, ikhlas dan insaf. Ingatlah niat yang baik, menjana perlakuan yang sempurna dan baik. Marilah kita sama-sama mengikat janji...kita perbaiki diri, kita kuatkan parti dan kita pastikan semangat dan kesungguhan kita didengari dan dipandang tinggi.

94. Saya menyeru sekali lagi kepada semua. Masa kita tidak lama. PRU 13 menanti kita. Perancangan dan gerak kerja perlu bermula pada detik dan saat ini. Kita perlu insaf.Kita perlu sedar. Kita perlu mulakan langkah. Jangan bila kekalahan menjenguk kita baru kita menyesal seribu bahasa. Waktu itu, tiada megah lagi Putrajaya, kerana Kerajaan diwakili oleh parti Pembangkang. Adakah itu yang kita mahukan?. Mahukah kita menjadi pewaris kepada kemusnahan tersebut? Adakah kita rela, darah UMNO yang mengalir dalam darah dan tulang temulang kita dipandang enteng dan diperlekehkan? Waktu itu jawatan hanya tinggal nama, tidak gah dan tiada makna jika jawatan yang anda kejar dan cari. Jika kita lalai, lewa, ambil mudah dan tidak bersungguh, semua itu akan berlaku. Waktu itu, nikmat yang kita perolehi ditarik balik. UMNO akan terus berkubur. Perjuangan kita hanya di kedai-kedai kopi. Orang muda tidak kenal pemimpin UMNO. Kita akan hanya tinggal sebagai seorang wanita muda yang menjalani kehidupan biasa. Tiada lagi api perjuangan. Itukah yang kita mahu? (3x).

95. Jika bukan itu yang kita mahu, ayuhlah rakan-rakan seperjuangan sekalian, kita bergandingan tangan. Kita lupakan perbezaan antara kita. Kita langkahlah dengan seiringan. Kita kuatkan azam untuk pertahankan parti UMNO yang kita cintai. Kita bersatu untuk menjadi benteng yang kuat. Kita kentalkan jati diri untuk melawan musuh dalam dan luar. Kita derapkan langkah untuk memberi pengisian dalam jiwa anak-anak muda kita! Kita perlu berjuang tanpa jawatan sekali pun!! Kita yakin kita boleh. Kita yakin kita akan terus kekal relevan!!! Kita akan terus mengimarahkan bumi Malaysia!!! Kita, Puteri UMNO akan menjadi wadah perjuangan bangsa kepada anak-anak muda!!!!Kita boleh!!!

Para Perwakilan sekalian,

96. Di kesempatan ini saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada adik-adik Puteri yang telah mencurah bakti dan keringat di sepanjang penglibatan mereka di dalam Puteri. Kepada mereka yang akan meneruskan perjuangan dalam wanita dan menamatkan keahlian di dalam puteri, teruskanlah kecemerlangan anda. Banggakanlah Puteri dengan pencapaian yang telah anda laksanakan di sini. Jangan pula lepas ini lupa pada kami di sini kerana nasihat, pandangan dan teguran amatlah kita alu-alukan demi satu perjuangan,satu parti, 1Malaysia.

97. Kepada semua perwakilan, saya mendoakan persidangan kali ini akan menjadi platform pada kita untuk memuhasabahkan serta memperbaiki diri. Semuanya demi parti. Untuk itu, kita lapangkanlah dada, kita teruskan hari-hari mendatang di persidangan ini dengan rasa insaf, zuhud dan redha.

98. Semoga persidangan kali ini dapat membuka mata, minda dan hati. Mulakanlah pada hari ini. Setiap yang baik ada ganjarannya, Insya Allah.

99. Akhir kata, semoga Puteri UMNO Malaysia terus gah dan semarak dengan api perjuangan demi untuk memperkasa bangsa, menjulang agama, mengangkat Negara.

100. Ingatlah! Dalam rungkaian huruf disebalik nama:

PUTERI

P : Pertiwi di medan bakti UMNO yang dikasihi
U : Usah ragu dan bertongkat dagu
T : Terimalah kekurangan dan kelebihan diri
E: Endahlah pada perjuangan pucuk pimpinan Negara
R : Redahkan semangat perjuangan dan kesungguhan
I : Insafi dan sedari diri agar UMNO kekal di hati.

Akhirnya...

PUTERI khidmat bakti mu amat diperlukan. PUTERI jasa pengorbanan mu menjadi taruhan. PUTERI gerakkanlah barisan. PUTERI maruah Negara, Bangsa dan Agamamu menjadi ihsan pada sebuah nama perjuangan. PUTERI jangan gadaikan semua itu atas nama jawatan dan gelaran. PUTERI hanya Allah yang membalas setitis keringatmu yang gugur atas nama perjuangan. PUTERI majulah, berjuanglah...Insya Allah PUTERI kau kan megah di persada BARISAN.

101. Sekian, wabillah hi taufiq wal hidayah wassalamualaikum wrt. wbt.

Selasa, 25 Ogos 2009

USUL DI MESYUARAT PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN PUCHONG 2009

Tarikh :16 Ogos 2009(Ahad)25 Syaban 1430
Tempat :IOI Palm Garden Hotel
Putrajaya,Selangor D.Ehsan

“CABARAN MEMENANGI PENGUNDI MUDA DALAM MENGHADAPI PRU-13”

PENCADANG : MOHD TAUFIQ ILHAMI B. ABDULLAH
WAKIL PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN PUCHONG
__________________________________________________________________

Mengambil iktibar daripada keputusan PRU-8 pada tahun 1990, PRU-10 pada tahun 1999 dan PRU-12 pada tahun 2008 yang lalu, kita perlu menyedari hakikat bahawa pola perubahan turun naik graf sokongan rakyat kepada Barisan Nasinal akan berubah pada setiap pusingan 10 tahun.
Jika diimbas kembali, PRU-8 pada tahun 1990, perpecahan dalam UMNO merupakan penyumbang utama kepada kemerosotan sokongan rakyat kepada BN menyaksikan kita hilang negeri Kelantan kepada pembangkang.
Masih segar dalam ingatan kita, pada tahun 1999 PRU-10, taufan politik melanda dan memberi tamparan hebat kepada BN apabila rakyat berpaling tadah kepada pembangkang dan menghukum kita dengan kekalahan BN di Kelantan dan Terengganu, juga berpunca krisis dalaman UMNO yang menguntungkan pihak lain.
Terlakar sejarah politik tanahair, PRU-12 tahun 2008 yang lalu, tsunami politik menyentap keangkuhan dan kealpaan BN apabila rakyat hilang keyakinan kepada kepimpinan negara yang dilihat bukan sahaja gagal mentadbir kerajaan, bahkan mewujudkan himpitan dan hambatan kesukaran kepada rakyat bertarung dengan peningkatan kos sara hidup yang melambung akibat harga komoditi minyak naik mendadak sebanyak RM0.70 sen yang kesan langsungnya menyebabkan harga barangan keperluan harian naik berlipat ganda. Natijah daripada itu, rakyat memanfaatkan sepenuhnya kuasa memilih sambil menyaksikan BN hilang majoriti 2/3 di Parlimen dan terlepas 5 buah negeri termasuk Wilayah Persekutuan kepada pembangkang dengan mesej jelas bahawa rakyat mahukan perubahan dan tidak lagi boleh disogok dengan jasa dan budi bertimbun-timbun BN kepada negara dan rakyat sejak merdeka 52 tahun dahulu.
Berdasarkan statistik keputusan setiap pilihanraya tersebut, pengaruh pengundi muda boleh menjadi kuasa penentu seperti yang berlaku pada tahun 1999 dan 2008 yang lalu, apabila pengundi muda dibawah umur 40 tahun lebih cenderung untuk memilih pembangkang.

Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian, izinkan saya merungkai 6 cabaran memenangi pengundi muda dari perspektif orang muda sendiri sebelum saya mengutarakan usul pemuda sebagai kaedah dan pelaksanaan program untuk memenangi pengundi muda.

1. Politik persepsi mempengaruhi pengundi muda.
Hakikatnya orang muda ini, cukup sinonim dengan label berdarah muda dan jiwanya pun muda. Golongan muda mudah terpengaruh dengan persepsi, tanggapan dan andaian walaupun ianya tidak semestinya benar. Golongan muda cenderung untuk mempercayai sesuatu persepsi terutamanya persepsi negatif yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap kerajaan. Pengundi muda disogok dengan persepsi negatif bahawa menyokong BN bermakna menyokong kenaikan harga barang, menyokong BN bermakna menyokong kenaikan harga minyak dan pelbagai persepsi negatif dilemparkan kepada BN yang boleh memesongkan pemikiran pengundi muda. Pada masa yang sama, pembangkang mendendangkan slogan ‘perubahan kearah harapan baru rakyat’ yang terbukti memberi kelebihan dan mencetuskan harapan rakyat walaupun ianya sekadar mainan politik dan retorik semata-mata.

2. Persepsi negatif ahli parti terhadap pengundi muda
Golongan muda sering dilabelkan sebagai masih mentah dan tidak matang dalam berpolitik. Seringkali, golongan muda tidak diberi peluang untuk membuktikan kebolehan dan kemampuan mereka dalam sesuatu perkara yang dilihat hanya mampu dilakukan oleh orang dewasa sahaja. Mahasiswa contohnya, kebolehan mereka diperkecilkan dengan mengatakan bahawa mahasiswa belum layak berbicara tentang politik. Kalau anak muda yang baru tamat SPM, lantas mereka dilabelkan dengan gejala social yang tidak sihat sedangkan bukan semua yang boleh dilabelkan sebegitu. Melihat saja anak muda lelaki menunggang motosikal, lantas dilabelkan sebagai mat rempit, melihat saja anak muda perempuan balik rumah lewat malam, lantas mereka dicap sebagai bohsia.

Biar pun anak muda baru bertatih berniaga kecil-kecilan, dah dihamburkan dengan sindiran dengan memperkecil-kecilkan kemampuan anak muda, sedangkan mereka perlukan dorongan, galakan dan sokongan moral untuk meneruskan perniagaan. Lebih malang, apabila golongan mahasiswa dan graduan mula menunjukkan minat menyertai UMNO, lantas golongan ini terus dicantas dan tidak diberi peluang kerana kebimbangan kepada golongan cerdik pandai ini akan menggugat kedudukan otai-otai dalam parti. Akhirnya, kerana kesal dan kecewa dengan persepsi negatif ahli-ahli parti, maka golongan cerdik pandai ini mengambil keputusan untuk menyertai parti pembangkang, lantas mereka dilabelkan sebagai tidak mengenang jasa kerajaan menyediakan peluang pendidikan kepada mereka. Akhirnya, persepsi negatif parti terhadap golongan muda akan merugikan UMNO dan BN kerana hilang sokongan pengundi muda.

3. Persepsi negatif pemimpin dari kaca mata pengundi muda
Selama ini pemimpin-pemimpin UMNO sering dilihat mempertontonkan kemewahan dan kekayaan sebagai simbol kemegahan diri atau tali pengukur kejayaan sebagai ahli politik yang berjaya. Pengundi muda jelak dengan perangai buruk pemimpin yang ego, sombong dan angkuh apabila berada ditampuk kuasa. Cukup sinonim dengan pemimpin UMNO, kalau nak tengok batang hidung pemimpin turun kawasan, buat program dulu barulah boleh panggil datang, itu pun nak kena hantar surat jemputan rasmi sebagai perasmi majlis atau VIP disambut dengan karpet merah. Kebanyakkan tempat, apa yang saya perkatakan ini memang berlaku, tetapi tidak di Puchong ini kerana pemimpin kita telah mengorak langkah menyusur akar menyinsing lengan mendekati rakyat tanpa dibatasi protocol atau pun perarakan besar-besaran.

4. Parti dikatakan tidak ambil peduli terhadap pengundi muda (Sampai sini check)
Sekian lama, BN dan UMNO khususnya dilihat tidak ambil peduli tentang keperluan anak muda. Mahasiswa merasa terpinggir dan tidak dipedulikan oleh parti terutamanya membabitkan isu-isu politik. Mahasiswa mahu parti pemerintah mendengar dan mengiktiraf pandangan mereka dan pada masa yang sama, mahasiswa mahu parti menyelesaikan setiap isu berkaitan mereka mengikut aspirasi generasi baru. Golongan ini amat mementingkan soal kepercayaan iaitu sejauh mana BN, UMNO khususnya komited dalam memperjuangkan nasib agama, bangsa dan tanahair kerana mereka merasakan agenda itu sekadar dilafaskan dibibir tetapi pengisian dan pelaksanaannya kosong. Harus diingat bahawa golongan muda hari ini begitu kritis terhadap isu-isu politik berbanding generasi terdahulu.

Graduan mempunyai pengaruh yang cukup kuat terhadap rakyat keseluruhannya, percakapan dan tingkahlaku mereka menjadi ikutan kerana mereka diketengahkan sebagai golongan cerdik pandai. Bayangkan, apabila setiap seorang daripada golongan ini balik ke kampong bertemu ibu bapa, ahli keluarga, sahabat handai dan rakan taulan, mereka akan mempergunakan kelebihan status cerdik pandai mereka itu untuk menyebarkan sesuatu isu-isu yang akan dihadam terus oleh rakyat kebanyakkan. Kalau baik isu-isu yang didendangkan mereka, khususnya membabitkan isu-isu politik dan dasar kerajaan, maka BN akan meraih populariti dimata rakyat. Tetapi berapa ramai dikalangan golongan ini yang akan berbicara tentang sesuatu isu politik dari sudut yang positif dan membina. Bahkan, sebahagian besar daripada mereka akan menghentak meja untuk mengukuhkan hujah mereka mengatakan segala-galanya tidak betul di pihak kerajaan dan UMNO khususnya.

Kerajaan juga dilihat gagal memperjuangkan nasib pekerja kontrak dalam sektor perkhidmatan awam yang sebahagian besar daripadanya merupakan golongan muda yang sentiasa resah mengenangkan nasib mereka apabila tempoh kontrak ditamatkan oleh kerajaan. Dalam kebanyakkan kes, kontrak disambung-sambung sampai dua tiga kali makan masa bertahun-tahun lamanya, tetapi masih tidak diserapkan ke jawatan tetap. Dalam kes tertentu, pekerja kontrak dinaikkan ke jawatan tetap ketika hanya tinggal beberapa tahun nak pencen. Tekanan jiwa dan perasan mendorong golongan ini memberontak untuk menzahirkan protes kepada kerajaan kerana gagal mewujudkan pekerjaan tetap kepada mereka, sedangkan itulah tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.

Kerajaan juga dilihat gagal membela nasib pekerja sektor swasta terutamanya golongan muda yang bekerja di kilang-kilang dan sebahagian besar daripada golongan ini adalah berbangsa Melayu yang dahagakan pembelaan daripada kerajaan. Isu pemberhentian kerja menjadi isu utama kepada golongan ini yang seolah-olah tiada penghujung, memperlihatkan kelemahan dasar kerajaan hingga hilang kawalan ke atas sektor swasta. Golongan ini merasakan tiada sebab untuk mereka menyokong kerajaan khususnya BN yang ternyata gagal memainkan peranan sebagai pemerintah untuk membela dan memperjuangkan nasib mereka. Golongan ini tidak mampu disogok dengan jasa kerajaan menyediakan peluang pendidikan awal kepada mereka kerana pada mereka itu memang sudah menjadi tanggungjawab dan kewajipan sesiapa sahaja menjadi pemerintah.

Kerajaan juga dilihat gagal membela nasib anak muda lepasan SPM yang hidup dalam delima. Oleh kerana keputusan akademik yang kurang memuaskan, meletakkan golongan ini dalam kedudukan umpama tergantung bertali, impian belajar di universiti tak tercapai, nak bekerja pun tidak diterima. Nak ke atas tak capai, nak ke bawah pun tak jejak. Golongan ini jika tidak ditangani dengan baik, akan memberi masalah yang kritikal kepada negara dan kerajaan BN khususnya. Dari sudut negara, sudah barang tentu golongan ini akan cenderung dan mudah terjebak dengan gejala sosial dan keruntuhan moral yang akan mendatangkan implikasi negatif kepada negara kerana kehilangan modal insan. Manakala dari sudut parti, golongan ini cenderung menentang BN yang sudah tentu merugikan parti kerana BN dilihat gagal membela nasib mereka.

5. Parti gagal ‘mendidik’ pengundi muda
Parti juga dilihat gagal mendidik rakyat terutamanya golongan muda Melayu untuk memahami agenda tersirat disebalik dasar-dasar negara yang tidak boleh dinyatakan secara terang-terangan kerana komposisi masyarakat majmuk berbilang kaum, keturunan dan agama di negara ini. Kerana kegagalan parti mendidik golongan muda ini, menjadikan mereka cenderung terpesong apabila sesuatu isu atau dasar diputar belit dan dipolitikkan oleh pembangkang untuk meraih sokongan rakyat. Parti gagal mendidik golongan muda khususnya Bukan Melayu mempelajari dan memahami sejarah supaya mereka tidak meminta sesuatu yang bukan hak mereka dan menuntut sesuatu yang sudah menjadi hak mutlak Bumiputra seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi pegangan dan ikrar pemimpin semua kaum semasa menuntut kemerdekaan.

Kerajaan juga dilihat gagal mendidik penjawat awam terutamanya pengundi muda Melayu untuk memahami hakikat bahawa kita hanya tinggal kuasa kerana ekonomi, teknologi dan pendidikan dikuasai oleh Bukan Melayu dengan jurang yang terlalu jauh. Hanya dengan kuasa yang ada pada kita, agenda tersirat perjuangan sebuah bangsa akan tercapai. Tetapi kerana parti gagal mendidik dan mengajar golongan muda Melayu tentang agenda tersirat disebalik sesuatu dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan, maka orang Melayu sendiri tidak mendapat manfaat daripada dasar yang diperkenalkan kerana penjawat awam tidak menjalankan peranan seperti yang sepatutnya. Kerana itu juga, golongan muda sudah tidak kisah dan tidak ambil peduli tentang siapa yang memerintah.

6. Parti gagal menarik pengundi muda Bukan Melayu.
BN juga dilihat gagal mewujudkan suasana mesra kepada pengundi muda Bukan Melayu kerana gagal menyediakan peluang perniagaan dan selebihnya tertumpu kepada hiburan untuk memenuhi kepuasan diri. Golongan muda Bukan Melayu yang lahir dalam generasi pasca merdeka, mengganggap bahawa mereka juga mempunyai hak yang sama dengan Bumiputra kerana dilahirkan dan membesar di negara ini. Ini kerana, tidak mungkin bagi ibu bapa atau datuk nenek mereka menceritakan dan mendedahkan bahawa asal usul keturunan mereka adalah dibawa oleh penjajah ke Tanah Melayu ini sebagai pekerja lombong dan penoreh getah. Tidak mungkin juga, untuk ibu bapa mereka menceritakan kisah penentangan Melayu terhadap penjajah dan komunis, bahkan tidak mungkin untuk ibu bapa mereka menceritakan kelembutan hati budi Melayu untuk menerima datuk nenek mereka dahulu sebagai warganegara ini dengan syarat hak istimewa Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak yang merangkumi pendidikan, ekonomi dan perkara-perkara lain tidak boleh dipersoalkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan negara.

USUL PEMUDA
Maka dengan ini, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Puchong mengusulkan beberapa pendekatan untuk memenangi pengundi muda dalam menghadapi PRU-13 dan plan tindakan jangka panjang oleh BN dan UMNO khususnya untuk kekal releven menakhoda zaman memerintah negara ini.

1. Menangani politik persepsi oleh pembangkang. BN dan UMNO khususnya mesti proaktif menangani politik persepsi yang digunakan oleh pembangkang. UMNO mesti berterusan dan konsisten dalam memperkatakan sesuatu persepsi negatif di pihak pembangkang supaya akhirnya diterima oleh rakyat terutamanya pengundi muda. Contohnya, dendangkan isu salah guna kuasa EXCO Selangor, Ronnie Liu (DAP) yang menghalang tugas pihak berkuasa menyita arak seperti didedahkan oleh Datuk Dr. Hassan Ali (PAS) melalui sidang medianya baru-baru ini. Canangkan persepsi negatif bahawa jika diberi mandat lebih besar kepada pembangkang, negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya akan hancur apabila rasuah yang dilakukan oleh pakatan pembangkang dan DAP khususnya secara terang-terangan. Buktinya, penyalahgunaan kuasa menyelewengkan peruntukkan Kerajaan Negeri Selangor untuk disalurkan kepada parti DAP. Dendangkan kepada pengundi muda Melayu bahawa PAS dan PKR berada di bawah kangkang DAP yang lebih dominan dalam pakatan pembangkang, jadi jangan mimpi orang Melayu akan jadi PM

2. Kikis persepsi negatif terhadap pengundi muda. Para pemimpin dan ahli UMNO mestilah memperbetulkan persepsi negatif terhadap pengundi muda kerana sebenarnya mereka ingin mendampingi kita. Mendekati golongan ini mestilah dengan cara penuh hekmah kerana kalau tidak kena caranya, mereka umpama burung merpati, makan ditangan ditangkap lari. Berikan ruang seluas-luasnya kepada graduan dan cerdik pandai untuk menyertai parti dan juga memegang jawatan penting dalam parti sebagai pengiktirafan. Dalam konteks pelajar lepasan SPM, yang umpama ke atas tak capai, ke bawah pun tak jejak, kerajaan hendaklah memperluaskan peluang untuk mereka mempelajari kemahiran berasaskan teknikal seperti mekanik, kimpalan, elektronik dan lain-lain kemahiran dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan beserta insentif elaun pengajian. Kini telah ada Giat Mara, Kolej Komuniti dan lain-lain institut kemahiran asas tetapi masih belum menyeluruh.

3. Ambil peduli dan prihatin terhadap pengundi muda. Dalam soal menangani kemelut kakitangan awam yang berstatus kontrak, kerajaan mestilah menyerapan mereka ke jawatan tetap selepas tamat kontrak 6 bulan kecuali bagi mereka tidak mencapai tahap prestasi yang cemerlang. Dalam soal menangani kemelut pekerja swasta yang diberhentikan kerja oleh majikan tanpa sebab yang munasabah, kerajaan mestilah menyerapkan mereka ke dalam perkhidmatan sektor awam mengikut bidang yang sesuai dengan kemahiran mereka.

UMNO mesti menyelami apa yang orang muda mahukan kerana selama ini kita silap, memaksa org muda mengikut kehendak kita sedangkan orang muda mahukan sebaliknya. Kalaulah dengan sukan boleh menarik sokongan orang muda, maka perbanyakkan program bentuk sukan. Kalaulah dengan hiburan boleh meraih populariti dimata orang muda, maka lambaklah program berbentuk hiburan yang tidak melampau. Tanyakan kepada mereka, apakah yang mereka mahu, jangan kita desak mereka ikut apa yang kita mahu. Kalaulah orang muda mahukan kerjaya, maka kerajaan mestilah menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan yang banyak dengan prasarana yang sesuai dengan matlamat berdasarkan aspirasi orang muda. Namun demikian, setiap program mestilah dilaksanakan dengan sungguh-sungguh beserta dana yang secukupnya melalui agensi-agensi kerajaan seperti Belia, KRT, JKKP, KEMAS dan lain-lain agensi kerajaan. Sehubungan itu, Pemuda mencadangkan agar parti menyalurkan peruntukkan tahunan RM100 ribu bagi setiap satu sayap Pemuda dan Puteri di peringkat bahagian untuk disalurkan kepada kedua-dua sayap ini untuk menjalankan program berkaitan orang muda. Pada masa sama, Pemuda dan Puteri mestilah berjalan seiring dan sederap dalam memenangi pengundi muda.

4. Memperkasa dan memperkemaskan Tadika KEMAS sebagai usaha jangka panjang untuk memenangi pengundi muda, BN dan UMNO khususnya hendaklah menggunakan pendekatan stategik iaitu membentuk pemikiran (mind setting) sebelum pemikiran golongan ini dibentuk dan dipesongkan oleh pembangkang. Mengambil contoh, kejayaan PAS membentuk pemikiran kanak-kanak seawal usia 5,6 dan 7 dengan mendoktrin pemikiran anak-anak ini melalui Tadika PASTI yang ternyata membuahkan hasil kepada pembangkang untuk jangka masa panjang. Percaya atau tidak, kejayaan yang dituai oleh PAS daripada sokongan padu pengundi muda pada PRU-12 yang lalu, bukanlah hasil yang diraih daripada usaha 2, 3 atau 4 tahun yang lalu tetapi kejayaan yang diraih hasil perancangan rapi dan pendekatan berkesan 20, 25 atau 30 tahun yang lalu. Pengalaman saya di universiti, berhadapan dengan golongan mahasiswa propembangkang, membuktikan teori ini adalah benar. Mereka cukup bangga dan bermegah dididik dengan cara sedemikian. 90% mahasiswa yang belajar di Tadika PASTI ketika di zaman kanak-kanak 20 tahun yang lalu, adalah penyokong tegar PAS dan pembangkang yang tidak mampu ditukar pemikiran mereka walau dengan apa cara sekali pun.

Oleh yang demikian, Pemuda mencadangkan agar kerajaan dan UMNO khususnya, memperkasa dan memperkemaskan Tadika KEMAS dengan modul yang mengarah kepada pembentukkan pemikiran yang akan mendorong anak-anak ini, apabila masuk universiti dan dewasa kelak akan menjadi penyokongan dan pendokongan tegar BN dan UMNO khususnya. Ajarkan asas sejarah dengan pendekatan psikologi kanak-kanak kerana pada usia semuda itu, membentuk pemikiran lebih mudah dan lebih senang diterima bulat-bulat oleh kanak-kanak. Doktrinkan kepada tenaga pengajar Tadika KEMAS dengan jiwa tegar perjuang agama, bangsa dan tanahair. Lantik tenaga pengajar dari kalangan ahli UMNO sahaja seperti mana PAS melantik tenaga pengajar Tadika PASTI hanya dari kalangan ahli PAS sahaja. Buangkan pemikiran bahawa Tadika KEMAS tiada kena mengena dengan UMNO dan politik.

5. Melaksanakan program Perkhemahan Ilmiah sebagai agenda tersirat untuk membentuk pemikiran remaja Melayu menjiwai agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanahair. Waajib kepada pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 yang beragama Islam untuk menghadiri perkhemahan ini. Terapkan program menggunakan modul BTN menceritakan tentang perjuangan bangsa bermula daripada zaman penentangan terhadap penjajah, menuntut kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan. Supaya akhirnya nanti, tertanam di sanubari, tersemat di hati, apabila ditanya siapakah yang menentang penjajah, mereka akan jawab Melayu, apabila ditanya siapa yang mencetuskan penentangan terhadap Malayan Union yang diperkenalkan oleh Inggeris, mereka akan jawab Melayu Dato’ Onn Jaafar melalui penubuhan UMNO, apabila ditanya siapakah UMNO itu, mereka akan jawab Melayu, apabila ditanya siapakah yang mempelopori usaha menuntut kemerdekaan Tanah Melayu, mereka jawab Melayu Tunku Abddul Rahman Putra Al-Haj Presiden UMNO ke-2, apabila ditanya kepada siapa hak istimewa di Tanah Melayu diberikan, mereka akan jawab hak istimewa itu Melayu yang punya, apabila ditanya parti manakah yang mengetuai kerajaan membangunkan negara ini, mereka akan jawab UMNO iaitu parti orang Melayu dan macam-macam lagi soalan yang maksudnya baik-baik, maka jawapan mereka sudah barang tentu Melayu dan UMNO. Inilah yang perlu kita doktrin dalam hati nurani orang muda.

Dan begitulah diperingkat universiti, kita wajibkan Kem BTN kepada mahasiswa-mahasiswi beragama Islam untuk memperkasakan jati diri dan melahirkan pejuang UMNO tulen demi agama, bangsa dan tanahair tercinta ini.

Begitulah juga kepada orang muda yang baru memasuki dunia pekerjaan terutamanya di sektor perkhidmatan awam, wajibkan kita bakar sampai membara semangat perjuangan demi agama, bangsa dan tanahair supaya nanti mereka tahu memainkan peranan membantu dan memperjuangkan untung nasib bangsa.

6. Menjadikan matapelajaran sejarah sebagai syarat wajib kredit dalam SPM dan STPM, bukan sekadar lulus seperti pada hari ini. Soalan-soalan hendaklah merangkumi 50% daripada soalan keseluruhan matapelajaran sejarah berkisar tentang zaman penentangan Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak terhadap penjajah dan bagaimana bangsa asing dibawa masuk ke Tanah Melayu sebagai pekerja lombong dan penoreh getah. Tanyakan soalan siapa yang melancarkan gerakan penentang penjajah, kalau bukan Melayu, tanyakan soalan pekerja dari negara China dibawa masuk oleh penjajah ke Tanah Melayu sebagai apa, kalau bukan untuk bekerja sebagai pekerja lombong, tanyakan soalan pekerja dari negara India dibawa masuk oleh penjajah ke Tanah Melayu sebagai apa, kalau bukan untuk bekerja sebagai penoreh getah. Tanyakan soalan apakah syarat hak istimewa orang Melayu sebagai balasan pemberian hak kerakyatan kepada orang Cina dan India sebagai prasyarat untuk mencapai kemerdekaan. Soalan-soalan sedemikian merupakan penerapan psikologi untuk memberi kefahaman kepada golongan ini supaya tidak meminta-minta melebihi daripada apa telah menjadi hak mereka dan mengambil daripada apa yang telah termaktub menjadi hak mutlak Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak.
Maka, saya Mohd Taufiq Ilhami b. Abdullah dari Pergerkan Pemuda UMNO Bahagian Puchong mohon mencadang.


Nama Penyokong : Salina Abd Aziz Wakil Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Puchong
Tajuk : Cabaran Memenangi Pengundi Muda Dalam Pilihanraya ke 13
Bismillah..
Alhamdulillah..
Assalamualaikum…

Yang Berbahagia Tuan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Yg Berhormat Dato’ Dr. Hj Muhamad Satim bin Diman selaku Ketua UMNO Bahagian Puchong, Timbalan Ketua Bahagian, Dato’ Raden Mokhtar Md Yusof, Naib Ketua Bahagian, Ir Rosli Idrus, Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, Ustz Azmir, Ketua Pergerakan Wanita Bahagian,Puan Ainon Imbi, Ketua Pergerakan Puteri Bahagian, Cik Siti Nozilah Sakimin, Saf-saf Kepimpinan, Pemuda,Wanita & Puteri Bahagian, para perwakilan, para pemerhati, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.
Saya Salina Bte Abd Aziz, yg mewakili Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Puchong menyokong usul Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Puchong yang bertajuk :-

“Cabaran Memenangi Pengundi Muda dalam Pilihanraya ke 13.”
Tuan Pengerusi Tetap,
Dengan ini izinkan saya untuk menyampaikan sokongan pada usul yang telah dibawa oleh Pergerakan Pemuda.

Sidang perwakilan sekalian,
Golongan muda adalah golongan pelapis negara yang perlu dijaga dan diberi perhatian untuk memenangi Pilihanraya ke
13 akan datang.

Oleh itu, Barisan Nasional yang mana UMNO sebagai tunggaknya perlu mengambil langkah yang lebih tegas, cepat dan dekat dengan hati golongan muda ini.

Kerana, apa yang kita lihat kekalahan pilihanraya ke12 yang lepas adalah dipeti-peti undi golongan muda.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
Untuk merampas kembali Negeri Selangor ke tangan Barisan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah, kepimpinan Umno sebagai tunggak kepada Barisan Nasional haruslah mengambil anisiatif untuk menawan hati golongan muda ini untuk menyokong kita.

Jika difikirkan, pendidikan adalah faktor yang sangat penting dalam mengubah persepsi negatif golongan muda terhadap kepimpinan Barisan Nasional.

Umno yang menjadi tunggak kepada Barisan Nasional perlu di ‘educated’kan. Dengan kata lain, perlu di’sekolah’kan. Sebagai pemimpin yang akan menjadi ikon atau ‘role model’ kepada golongan muda ini, mereka haruslah menunjukkan kualiti kepimpinan yang cemerlang, bijak dan telus.

Selain itu sikap pemimpin itu sendiri harus diubah. Tunjukkan sikap mesra rakyat, prihatin, dan mudah didekati oleh golongan muda, dalam apa jua program yang dianjurkan diperingkat akar umbi.

Sidang hadirin sekalian,
Selain itu, sikap ahli-ahli Umno yang suka berpuak-puak dan benci-membenci haruslah dikikis. Sikap ini akan menjadikan sesebuah parti itu berpecah belah. Jika kita dapati di bahagian kita sendiri, ada dikalangan ahli-ahlinya yang hidup berpuak-puak sehingga ada perasaan benci- membenci diantara satu sama lain.

Untuk apa semua itu?

Dimanakah congankata Umno itu diletakkan? Dan adakah kita sebagai ahli UMNO menjiwai congankata tersebut? yang hanya 3 perkataan sahaja.

BERSATU, bersatukah kita?

BERSETIA,bersetiakah kita?

BERKHIDMAT,berkhidmatkah kita kepada parti keramat ini?

Bagaimana kita mahu menjadi parti yang dipandang tinggi oleh golongan muda, jika kita masih mengamalkan cara ini. Fikirkanlah, tuan-tuan dan puan-puan sidang perwakilan yang dihormati sekalian.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Jika kita melihat situasi pada masa kini, terlalu banyak longgokan graduan-graduan universiti yang terpinggir. Mereka kurang didedahkan mengenai UMNO. Sehinggakan mereka tidak berterima kasih diatas bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka semasa melanjutkan pelajaran diuniversiti dahulu.

Itulah sebabnya, mereka menyokong parti lain. Peluang yang diambil oleh parti lain, telah mengubah pemikiran mereka terhadap UMNO.

Kemanakah hilangnya Persatuan Mahasiswa Selangor? Sudah terkuburkah? Mengapa tidak UMNO mengambil peluang mendekati golongan muda ini, dengan menganjurkan program-program yang berkaitan melalui pesatuan ini.

Mungkinkah kita terlalu leka dengan kesenangan yang telah kita kecapi pada masa dahulu, sehingga kita lupa dengan golongan pelapis yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Dengan ini, saya wakil Pergerakan Puteri Umno Bahagian Puchong menyokong usul yang dibawa oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Puchong ini.

Dan kita mengharapkan, kepimpinan diatas bangkit dan melaksanakan cadangan-cadangan yang diusulkan. Jangan jadikan usul ini hanya sebagai satu pelengkap aturcara dalam persidangan sahaja.

Cadangan-cadangan ini haruslah direalisasikan di setiap cawangan. Jentera-jentera yang berada di cawangan haruslah bersatu hati untuk menarik golongan muda yang ada disekeliling kita untuk mendekati Umno,

kerana...

MENYEDARI bahawa Barisan Nasional dan Umno harus proaktif dalam menangani politik persepsi yang digunakan oleh pembangkang. UMNO mestilah berterusan dan konsisten dalam memperkatakan sesuatu persepsi negatif di pihak pembangkang, supaya akhirnya diterima dan difahami oleh golongan muda.

MENGINSAFI bahawa, kuasa pengundi muda juga adalah sangat penting untuk kita memenangi Pilihanraya ke 13 akan datang. Program-program yang lebih mendedahkan mereka terhadap jatidiri, haruskan dilaksanakan dan diteruskan agar ‘sense of belonging’ sebagai ahli Umno yang kental tersemat didalam diri golongan muda kini.

MENYAKINI bahawa masih ada masa dan peluang untuk Umno mendekati dan memenangi hati pengundi muda. Marilah kita bersatu hati dan tenaga dalam mengharungi cabaran politik yang semakin mencabar, bagi merampas kembali kuasa dan hak-hak Orang Melayu yang semakin hilang ditampuk kepimpinan pembangkang.

Akhir kata, saya ingin membawa kata-kata Dato Seri Presiden UMNO yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor iaitu Selangor mesti dikembalikan semula ke tangan Barisan Nasional kerana Negeri Selangor ini penting sebagai nadi Negara.

Beliau juga mengatakan peluang untuk Barisan Nasional berkuasa semula di Selangor tetap ada,tetapi dengan syarat parti-parti komponan yang diterajui Umno sudah insaf dan menyedari kekurangan diri dan sanggup berubah.

Selain daripada itu, Umno tidak boleh mempunyai perasaan benci kepada orang lain dalam keluarga Barisan Nasional.

Berjuang bersama-sama, berganding bahu, secara seia, sekata, dan sehaluan. Dan akhir sekali, amaran Dato Seri Presiden Umno menyatakan Kalau nak menang,buat cara nak menang, jangan kita nak menang, tapi perbuatan kita menempah kekalahan, anda fakir-fikirlah sendiri…

Wabilahitaufik walhidayah…..

Isnin, 24 Ogos 2009

Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Puchong Selangor D.Ehsan 2009
Tarikh : 15hb.Ogos 2009(sabtu) Tempat: IOI Palm Garden Resort Putra Jaya.






MESYUARAT PERWAKILAN PERGERAKAN PUTERI UMNO BAHAGIAN PUCHONG 2009
TARIKH
15HB. OGOS 2009 (SABTU)
BERTEMPAT
IOI PALM GARDEN RESORT PUTRAJAYA
DIRASMIKAN OLEH
YB.DATO'DR.HAJI MOHAMAD SATIM BIN DIMAN
KETUA UMNO BAHAGIAN PUCHONG/ADUN.SELANGOR N.29 SERI SERDANG

Kata-Kata Aluan
Ketua Pergerakan Puteri
UMNO Bahagian Puchong Selangor D.Ehsan

Alhamdullilah, dengan izin Allah S.W.T dan limpah kurnia darinya saya berpeluang untuk menitip sepatah dua kata dalam ruangan ini sempena Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Puchong kali ke 6 tahun 2009. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua Pergerakan Puteri UMNO Cawangan-Cawangan pada tahun 2008/2009. Setinggi-tinggi penghargaan daripada saya kepada saudari-saudari yang dipilih sebagai Perwakilan kerana anda semua merupakan wakil yang diamanahkan bagi bersama-sama berkongsi idea, pandangan dan harapan akar umbi bagi meneruskan perjuangan kita terhadap parti keramat yang kita cintai.

Setahun telah berlalu selepas PRU 12, dan telah 8 bulan saya menerajui kepimpinan Puteri UMNO Bahagian Puchong, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh Ahli Jawatan kuasa dan seluruh ahli Puteri UMNO dalam menjayakan program-program yang diadakan. Saya percaya fenomena selepas PRU12 ini telah banyak mengajar dan mematangkan lagi setiap ahli Puteri UMNO.

Saya ingin menyeru kepada semua ahli Puteri supaya bersabar dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran dibawah suasana pemerintahan pembangkang. Tangani lah setiap inci kemelut yang mendatang dengan bijak, jangan mudah melatah. Lengkapkan jentera sayap termuda ini dengan semangat dan kekuatan mental serta tanamkan dalam hati setiap ahli Puteri agar tetap berdiri di belakang satu-satunya parti keramat yang memertabatkan kepentingan politik orang Melayu yang menjunjung islam sebagai agamanya.

Dalam tempoh yang ada menjelang pilihan raya umum ke 13 ini, marilah kita tingkatkan azam dan kuatkan semangat untuk berkerja keras kearah matlamat untuk menguatkan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional. Di bahu kita lah yang akan menentukan masa depan anak bangsa dan UMNO sendiri sama ada akan terus mencipta dan melakarkan sejarah atau pun menjadi sebahagian dari lipatan sejarah Malaysia.

Harapan saya semoga kepimpinan baru yang dipilih ini sedia berkerja lebih keras bersama
sama saya untuk meneruskan kesinambongan perjuangan yang kian getir ini serta dapat memacu hala tuju Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Puchong ke tahap yang lebih tinggi.

Siti Nozilah Sakimin
Ketua Pergerakan Puteri
UMNO Bahagian Puchong

MESYUARAT PERWAKILAN PUTERI 2009


MESYUARAT PERWAKILAN PERGERAKAN PUTERI UMNO BAHAGIAN PUCHONG 2009
TARIKH
15HB. OGOS 2009 (SABTU)
BERTEMPAT
IOI PALM GARDEN RESORT PUTRAJAYA
DIRASMIKAN OLEH
YB.DATO'DR.HAJI MOHAMAD SATIM BIN DIMAN
KETUA UMNO BAHAGIAN PUCHONG/ADUN.SELANGOR N.29 SERI SERDANG


Perutusan Ketua UMNO Bahagian Puchong.

Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan kurniaan rahmat darinya kita berpeluang sekali lagi berhimpun untuk menunaikan agenda yang termaktub dalam perlembagaan UMNO iaitu Mesyuarat Pergerakan Puteri UMNO Puchong kali ke 6 tahun 2009.

Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua Puteri cawangan yang telah berjaya melaksana kan tanggung jawab mengadakan Persidangan Tahunan Cawangan dengan lancar. Pergerakan Puteri UMNO Bahagian perlu mengambil inisiatif untuk meningkat kan keahlian dan jumlah Puteri Cawangan yang boleh bersidang supaya lebih ramai lagi ahli-ahli Puteri dapat bersama-sama didalam Mesyuarat Perwakilan yang akan datang.

Ini kerana dalam perhimpunan beginilah kita dapat menyampai kan mesej, penerangan serta maklumat penting berkaitan perkembangan terkini parti keramat ini kepada ahli-ahli Puteri UMNO. Berbekalkan pengetahuan yang disalurkan, Puteri UMNO akan lebih peka dan tidak akan kabur bila berhadapan dengan isu-isu berkaitan parti atau pun pentadbiran semasa.

Sidang perwakilan yang saya hormati.......maklumat terkini yang kita dapat ialah berkenaan dengan gerakan pendaftaran pemilih yang telah dilakukan oleh Pihak parti lawan kita. Pada masa ini peratusan pengundi Melayu telah jatuh lebih kurang 48% dan pada saya ini satu petanda yang tidak baik. Kita ahli-ahli UMNO asyik dengan politicking kita dalam Bahagian tetapi kita lupa untuk mendaftar pemilih yang baru atau pindah kan mereka-mereka yang bermastautin di sini tetapi tidak mengundi di sini.

Sekiranya peratusan pengundi Melayu tidak mencapai 50% ke atas, janganlah kita berharap untuk mendapat tempat di DUN kita ini walau pun daripada parti pembangkang. Oleh itu saya menyeru semua ahli UMNO agar bangkit dan bergerak cergas mendaftar pemilih baru demi Agama Bangsa dan Tanah Air yang di cintai

Sidang perwakilan..... jangan sampai bumi yang di cintai ini, hak orang Melayu jatuh ke tangan orang lain dan kita menjadi pengemis di tanah air kita sendiri dan sumpah anak cucu kita nanti.

BERSATU BERSETIA BERKHIDMAT

Ahad, 23 Ogos 2009

KENYATAAN KEDUA YUSRI



Tujuan saya untuk bertemu pihak media adalah untuk menjelaskan beberapa kekeruhan yang timbul akibat penampilan saya minggu lalu. Saya mendapat banyak reaksi dan spekulasi daripada pelbagai pihak. Jadi saya tampil untuk menjelaskan bahawa kenyataan akhbar tersebut diadakan dengan iniasiatif saya sendiri dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan ianya dibuat untuk membersihkan nama baik saya dan keluarga. Untuk itu, saya mempertahankan segala kenyataan yang saya buat sebelum ini.

Di pihak saya, saya menganggap kes ini sudahpun selesai. Namun apa yang saya perhatikan, sejak 20 Ogos yang lalu, pelbagai tohmahan telah dilontarkan yang mana menyimpang daripada tujuan asal saya membuat kenyataan akhbar. Keadaan ini membuatkan saya terpanggil untuk membuat sidang akhbar ini kerana saya merasa sedih melihat serangan-serangan peribadi yang dilakukan terhadap Rohaizat.

Secara tidak langsung saya merasa dibabitkan sama di dalam usaha-usaha memburuk-burukkan Rohaizat. Tetapi apabila keadaan semakin buruk dan Rohaizat dikeji sedemikian rupa, saya merasa menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan kedudukan saya selanjutnya dan juga menyampaikan apa yang saya rasa.

Saya tidak boleh berdiam diri apabila melihat kenyataan saya tempoh hari digunakan tanpa henti terhadap Rohaizat, seorang manusia yang saya kenal secara peribadi adalah seorang yang baik hati.

Saya juga sedar walaupun dia telah melakukan kesilapan, dia telah membetulkannya dan pihak Koperasi Pekebun Getah Pulau Pinang juga telah menarik balik tuntutan mereka terhadapnya. Saya tidak berniat untuk menganiaya atau menyokong sesiapa. Apa yang telah terjadi harus dijadikan tauladan, bukan hukuman.

Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, Rohaizat adalah kawan saya, saya tahu hati budinya dan dia anak jati Permatang Pasir. Dia sendiri telah lama menabur bakti di sini. Jika orang seperti Rohaizat dibiarkan dikeji dan dirosakkan nama baiknya semata-mata untuk kepentingan politik, akan hancurlah hidup seorang lagi manusia yang boleh membawa perubahan yang baik kepada masyarakat setempat.

Semasa saya tampil ke hadapan tempoh hari ialah kerana saya merasa marah dan kecewa kerana saya dijadikan kambing hitam di dalam kes yang membabitkan Koperasi itu. Kerana itu kenyataan terbuka dibuat semata-mata untuk mempertahankan diri saya dan menjelaskan apa yang telah berlaku. Malangnya, usaha saya untuk menjelaskan kedudukan saya di dalam kes itu telah digunakan untuk menghentam dan memburuk-burukkan Rohaizat habis-habisan.

Saya yakin akan timbul tuduhan bahawa saya mendapat ganjaran dan habuan untuk tampil membuat kedua- dua kenyataan akhbar ini. Sebanyak mana wang dan harta dunia sekalipun tidak akan dapat membeli saya untuk menggadai bangsa, agama dan negara saya.

Sebagai seorang Islam dan warganegara yang bertanggungjawab, saya cuma ingin menyatakan apa yang berlaku, tanpa takut atau mengharapkan balasan ataupun dieksploitasikan oleh mana-mana pihak.

Saya percaya rakyat mengharapkan budaya politik yang sihat dan mencerminkan kematangan bangsa yang telah merdeka selama 52 tahun. Pembangunan dan kestabilan negara yang telah dicapai selama ini tidak harus dilupakan begitu sahaja.

Tujuan kenyataan akhbar saya ini bukanlah untuk mendapat publisiti atau untuk mana-mana pihak mengeksploitasi apa yang terjadi. Bersempena dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru semua pihak agar sama-sama bermuhasabah diri dan menghindarkan sengketa sesama kita.

Janganlah kita keji-mengeji, hina-menghina, fitnah - memfitnah sesama Islam kerana ia akan mendatangkan perpecahan yang boleh mengancam kepentingan kita bersama.

Percayalah, di dalam bulan Ramadan yang mulia ini apa yang saya lakukan adalah kerana desakan hati nurani saya.

Sekian terima kasih.

Yusri Ishak.

Rabu, 12 Ogos 2009

KARNIVAL SUKAN BOLA JARING

Tarikh : 09.08.2009
Tempat : Sek.Men.Keb.Sri Serdang
Anjuran: Pergerakan Puteri UMNO Puchong Selangor.

Sabtu, 27 Jun 2009

Persidangan Put3 BandarBktPuchong






Tarikh : 26 Jun 2009
Masa : 9 malam
Tempat : Perkarangan BG UMNO Jalan BP3/9
Bandar Bukit Puchong, Puchong Selangor D.Ehsan
Ketua : Suriyani Md Alip
Wakil : Salina Abd Aziz Ketua Penerangan Puteri Bahagian