Selasa, 25 Ogos 2009

USUL DI MESYUARAT PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN PUCHONG 2009

Tarikh :16 Ogos 2009(Ahad)25 Syaban 1430
Tempat :IOI Palm Garden Hotel
Putrajaya,Selangor D.Ehsan

“CABARAN MEMENANGI PENGUNDI MUDA DALAM MENGHADAPI PRU-13”

PENCADANG : MOHD TAUFIQ ILHAMI B. ABDULLAH
WAKIL PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN PUCHONG
__________________________________________________________________

Mengambil iktibar daripada keputusan PRU-8 pada tahun 1990, PRU-10 pada tahun 1999 dan PRU-12 pada tahun 2008 yang lalu, kita perlu menyedari hakikat bahawa pola perubahan turun naik graf sokongan rakyat kepada Barisan Nasinal akan berubah pada setiap pusingan 10 tahun.
Jika diimbas kembali, PRU-8 pada tahun 1990, perpecahan dalam UMNO merupakan penyumbang utama kepada kemerosotan sokongan rakyat kepada BN menyaksikan kita hilang negeri Kelantan kepada pembangkang.
Masih segar dalam ingatan kita, pada tahun 1999 PRU-10, taufan politik melanda dan memberi tamparan hebat kepada BN apabila rakyat berpaling tadah kepada pembangkang dan menghukum kita dengan kekalahan BN di Kelantan dan Terengganu, juga berpunca krisis dalaman UMNO yang menguntungkan pihak lain.
Terlakar sejarah politik tanahair, PRU-12 tahun 2008 yang lalu, tsunami politik menyentap keangkuhan dan kealpaan BN apabila rakyat hilang keyakinan kepada kepimpinan negara yang dilihat bukan sahaja gagal mentadbir kerajaan, bahkan mewujudkan himpitan dan hambatan kesukaran kepada rakyat bertarung dengan peningkatan kos sara hidup yang melambung akibat harga komoditi minyak naik mendadak sebanyak RM0.70 sen yang kesan langsungnya menyebabkan harga barangan keperluan harian naik berlipat ganda. Natijah daripada itu, rakyat memanfaatkan sepenuhnya kuasa memilih sambil menyaksikan BN hilang majoriti 2/3 di Parlimen dan terlepas 5 buah negeri termasuk Wilayah Persekutuan kepada pembangkang dengan mesej jelas bahawa rakyat mahukan perubahan dan tidak lagi boleh disogok dengan jasa dan budi bertimbun-timbun BN kepada negara dan rakyat sejak merdeka 52 tahun dahulu.
Berdasarkan statistik keputusan setiap pilihanraya tersebut, pengaruh pengundi muda boleh menjadi kuasa penentu seperti yang berlaku pada tahun 1999 dan 2008 yang lalu, apabila pengundi muda dibawah umur 40 tahun lebih cenderung untuk memilih pembangkang.

Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian, izinkan saya merungkai 6 cabaran memenangi pengundi muda dari perspektif orang muda sendiri sebelum saya mengutarakan usul pemuda sebagai kaedah dan pelaksanaan program untuk memenangi pengundi muda.

1. Politik persepsi mempengaruhi pengundi muda.
Hakikatnya orang muda ini, cukup sinonim dengan label berdarah muda dan jiwanya pun muda. Golongan muda mudah terpengaruh dengan persepsi, tanggapan dan andaian walaupun ianya tidak semestinya benar. Golongan muda cenderung untuk mempercayai sesuatu persepsi terutamanya persepsi negatif yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap kerajaan. Pengundi muda disogok dengan persepsi negatif bahawa menyokong BN bermakna menyokong kenaikan harga barang, menyokong BN bermakna menyokong kenaikan harga minyak dan pelbagai persepsi negatif dilemparkan kepada BN yang boleh memesongkan pemikiran pengundi muda. Pada masa yang sama, pembangkang mendendangkan slogan ‘perubahan kearah harapan baru rakyat’ yang terbukti memberi kelebihan dan mencetuskan harapan rakyat walaupun ianya sekadar mainan politik dan retorik semata-mata.

2. Persepsi negatif ahli parti terhadap pengundi muda
Golongan muda sering dilabelkan sebagai masih mentah dan tidak matang dalam berpolitik. Seringkali, golongan muda tidak diberi peluang untuk membuktikan kebolehan dan kemampuan mereka dalam sesuatu perkara yang dilihat hanya mampu dilakukan oleh orang dewasa sahaja. Mahasiswa contohnya, kebolehan mereka diperkecilkan dengan mengatakan bahawa mahasiswa belum layak berbicara tentang politik. Kalau anak muda yang baru tamat SPM, lantas mereka dilabelkan dengan gejala social yang tidak sihat sedangkan bukan semua yang boleh dilabelkan sebegitu. Melihat saja anak muda lelaki menunggang motosikal, lantas dilabelkan sebagai mat rempit, melihat saja anak muda perempuan balik rumah lewat malam, lantas mereka dicap sebagai bohsia.

Biar pun anak muda baru bertatih berniaga kecil-kecilan, dah dihamburkan dengan sindiran dengan memperkecil-kecilkan kemampuan anak muda, sedangkan mereka perlukan dorongan, galakan dan sokongan moral untuk meneruskan perniagaan. Lebih malang, apabila golongan mahasiswa dan graduan mula menunjukkan minat menyertai UMNO, lantas golongan ini terus dicantas dan tidak diberi peluang kerana kebimbangan kepada golongan cerdik pandai ini akan menggugat kedudukan otai-otai dalam parti. Akhirnya, kerana kesal dan kecewa dengan persepsi negatif ahli-ahli parti, maka golongan cerdik pandai ini mengambil keputusan untuk menyertai parti pembangkang, lantas mereka dilabelkan sebagai tidak mengenang jasa kerajaan menyediakan peluang pendidikan kepada mereka. Akhirnya, persepsi negatif parti terhadap golongan muda akan merugikan UMNO dan BN kerana hilang sokongan pengundi muda.

3. Persepsi negatif pemimpin dari kaca mata pengundi muda
Selama ini pemimpin-pemimpin UMNO sering dilihat mempertontonkan kemewahan dan kekayaan sebagai simbol kemegahan diri atau tali pengukur kejayaan sebagai ahli politik yang berjaya. Pengundi muda jelak dengan perangai buruk pemimpin yang ego, sombong dan angkuh apabila berada ditampuk kuasa. Cukup sinonim dengan pemimpin UMNO, kalau nak tengok batang hidung pemimpin turun kawasan, buat program dulu barulah boleh panggil datang, itu pun nak kena hantar surat jemputan rasmi sebagai perasmi majlis atau VIP disambut dengan karpet merah. Kebanyakkan tempat, apa yang saya perkatakan ini memang berlaku, tetapi tidak di Puchong ini kerana pemimpin kita telah mengorak langkah menyusur akar menyinsing lengan mendekati rakyat tanpa dibatasi protocol atau pun perarakan besar-besaran.

4. Parti dikatakan tidak ambil peduli terhadap pengundi muda (Sampai sini check)
Sekian lama, BN dan UMNO khususnya dilihat tidak ambil peduli tentang keperluan anak muda. Mahasiswa merasa terpinggir dan tidak dipedulikan oleh parti terutamanya membabitkan isu-isu politik. Mahasiswa mahu parti pemerintah mendengar dan mengiktiraf pandangan mereka dan pada masa yang sama, mahasiswa mahu parti menyelesaikan setiap isu berkaitan mereka mengikut aspirasi generasi baru. Golongan ini amat mementingkan soal kepercayaan iaitu sejauh mana BN, UMNO khususnya komited dalam memperjuangkan nasib agama, bangsa dan tanahair kerana mereka merasakan agenda itu sekadar dilafaskan dibibir tetapi pengisian dan pelaksanaannya kosong. Harus diingat bahawa golongan muda hari ini begitu kritis terhadap isu-isu politik berbanding generasi terdahulu.

Graduan mempunyai pengaruh yang cukup kuat terhadap rakyat keseluruhannya, percakapan dan tingkahlaku mereka menjadi ikutan kerana mereka diketengahkan sebagai golongan cerdik pandai. Bayangkan, apabila setiap seorang daripada golongan ini balik ke kampong bertemu ibu bapa, ahli keluarga, sahabat handai dan rakan taulan, mereka akan mempergunakan kelebihan status cerdik pandai mereka itu untuk menyebarkan sesuatu isu-isu yang akan dihadam terus oleh rakyat kebanyakkan. Kalau baik isu-isu yang didendangkan mereka, khususnya membabitkan isu-isu politik dan dasar kerajaan, maka BN akan meraih populariti dimata rakyat. Tetapi berapa ramai dikalangan golongan ini yang akan berbicara tentang sesuatu isu politik dari sudut yang positif dan membina. Bahkan, sebahagian besar daripada mereka akan menghentak meja untuk mengukuhkan hujah mereka mengatakan segala-galanya tidak betul di pihak kerajaan dan UMNO khususnya.

Kerajaan juga dilihat gagal memperjuangkan nasib pekerja kontrak dalam sektor perkhidmatan awam yang sebahagian besar daripadanya merupakan golongan muda yang sentiasa resah mengenangkan nasib mereka apabila tempoh kontrak ditamatkan oleh kerajaan. Dalam kebanyakkan kes, kontrak disambung-sambung sampai dua tiga kali makan masa bertahun-tahun lamanya, tetapi masih tidak diserapkan ke jawatan tetap. Dalam kes tertentu, pekerja kontrak dinaikkan ke jawatan tetap ketika hanya tinggal beberapa tahun nak pencen. Tekanan jiwa dan perasan mendorong golongan ini memberontak untuk menzahirkan protes kepada kerajaan kerana gagal mewujudkan pekerjaan tetap kepada mereka, sedangkan itulah tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.

Kerajaan juga dilihat gagal membela nasib pekerja sektor swasta terutamanya golongan muda yang bekerja di kilang-kilang dan sebahagian besar daripada golongan ini adalah berbangsa Melayu yang dahagakan pembelaan daripada kerajaan. Isu pemberhentian kerja menjadi isu utama kepada golongan ini yang seolah-olah tiada penghujung, memperlihatkan kelemahan dasar kerajaan hingga hilang kawalan ke atas sektor swasta. Golongan ini merasakan tiada sebab untuk mereka menyokong kerajaan khususnya BN yang ternyata gagal memainkan peranan sebagai pemerintah untuk membela dan memperjuangkan nasib mereka. Golongan ini tidak mampu disogok dengan jasa kerajaan menyediakan peluang pendidikan awal kepada mereka kerana pada mereka itu memang sudah menjadi tanggungjawab dan kewajipan sesiapa sahaja menjadi pemerintah.

Kerajaan juga dilihat gagal membela nasib anak muda lepasan SPM yang hidup dalam delima. Oleh kerana keputusan akademik yang kurang memuaskan, meletakkan golongan ini dalam kedudukan umpama tergantung bertali, impian belajar di universiti tak tercapai, nak bekerja pun tidak diterima. Nak ke atas tak capai, nak ke bawah pun tak jejak. Golongan ini jika tidak ditangani dengan baik, akan memberi masalah yang kritikal kepada negara dan kerajaan BN khususnya. Dari sudut negara, sudah barang tentu golongan ini akan cenderung dan mudah terjebak dengan gejala sosial dan keruntuhan moral yang akan mendatangkan implikasi negatif kepada negara kerana kehilangan modal insan. Manakala dari sudut parti, golongan ini cenderung menentang BN yang sudah tentu merugikan parti kerana BN dilihat gagal membela nasib mereka.

5. Parti gagal ‘mendidik’ pengundi muda
Parti juga dilihat gagal mendidik rakyat terutamanya golongan muda Melayu untuk memahami agenda tersirat disebalik dasar-dasar negara yang tidak boleh dinyatakan secara terang-terangan kerana komposisi masyarakat majmuk berbilang kaum, keturunan dan agama di negara ini. Kerana kegagalan parti mendidik golongan muda ini, menjadikan mereka cenderung terpesong apabila sesuatu isu atau dasar diputar belit dan dipolitikkan oleh pembangkang untuk meraih sokongan rakyat. Parti gagal mendidik golongan muda khususnya Bukan Melayu mempelajari dan memahami sejarah supaya mereka tidak meminta sesuatu yang bukan hak mereka dan menuntut sesuatu yang sudah menjadi hak mutlak Bumiputra seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi pegangan dan ikrar pemimpin semua kaum semasa menuntut kemerdekaan.

Kerajaan juga dilihat gagal mendidik penjawat awam terutamanya pengundi muda Melayu untuk memahami hakikat bahawa kita hanya tinggal kuasa kerana ekonomi, teknologi dan pendidikan dikuasai oleh Bukan Melayu dengan jurang yang terlalu jauh. Hanya dengan kuasa yang ada pada kita, agenda tersirat perjuangan sebuah bangsa akan tercapai. Tetapi kerana parti gagal mendidik dan mengajar golongan muda Melayu tentang agenda tersirat disebalik sesuatu dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan, maka orang Melayu sendiri tidak mendapat manfaat daripada dasar yang diperkenalkan kerana penjawat awam tidak menjalankan peranan seperti yang sepatutnya. Kerana itu juga, golongan muda sudah tidak kisah dan tidak ambil peduli tentang siapa yang memerintah.

6. Parti gagal menarik pengundi muda Bukan Melayu.
BN juga dilihat gagal mewujudkan suasana mesra kepada pengundi muda Bukan Melayu kerana gagal menyediakan peluang perniagaan dan selebihnya tertumpu kepada hiburan untuk memenuhi kepuasan diri. Golongan muda Bukan Melayu yang lahir dalam generasi pasca merdeka, mengganggap bahawa mereka juga mempunyai hak yang sama dengan Bumiputra kerana dilahirkan dan membesar di negara ini. Ini kerana, tidak mungkin bagi ibu bapa atau datuk nenek mereka menceritakan dan mendedahkan bahawa asal usul keturunan mereka adalah dibawa oleh penjajah ke Tanah Melayu ini sebagai pekerja lombong dan penoreh getah. Tidak mungkin juga, untuk ibu bapa mereka menceritakan kisah penentangan Melayu terhadap penjajah dan komunis, bahkan tidak mungkin untuk ibu bapa mereka menceritakan kelembutan hati budi Melayu untuk menerima datuk nenek mereka dahulu sebagai warganegara ini dengan syarat hak istimewa Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak yang merangkumi pendidikan, ekonomi dan perkara-perkara lain tidak boleh dipersoalkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan negara.

USUL PEMUDA
Maka dengan ini, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Puchong mengusulkan beberapa pendekatan untuk memenangi pengundi muda dalam menghadapi PRU-13 dan plan tindakan jangka panjang oleh BN dan UMNO khususnya untuk kekal releven menakhoda zaman memerintah negara ini.

1. Menangani politik persepsi oleh pembangkang. BN dan UMNO khususnya mesti proaktif menangani politik persepsi yang digunakan oleh pembangkang. UMNO mesti berterusan dan konsisten dalam memperkatakan sesuatu persepsi negatif di pihak pembangkang supaya akhirnya diterima oleh rakyat terutamanya pengundi muda. Contohnya, dendangkan isu salah guna kuasa EXCO Selangor, Ronnie Liu (DAP) yang menghalang tugas pihak berkuasa menyita arak seperti didedahkan oleh Datuk Dr. Hassan Ali (PAS) melalui sidang medianya baru-baru ini. Canangkan persepsi negatif bahawa jika diberi mandat lebih besar kepada pembangkang, negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya akan hancur apabila rasuah yang dilakukan oleh pakatan pembangkang dan DAP khususnya secara terang-terangan. Buktinya, penyalahgunaan kuasa menyelewengkan peruntukkan Kerajaan Negeri Selangor untuk disalurkan kepada parti DAP. Dendangkan kepada pengundi muda Melayu bahawa PAS dan PKR berada di bawah kangkang DAP yang lebih dominan dalam pakatan pembangkang, jadi jangan mimpi orang Melayu akan jadi PM

2. Kikis persepsi negatif terhadap pengundi muda. Para pemimpin dan ahli UMNO mestilah memperbetulkan persepsi negatif terhadap pengundi muda kerana sebenarnya mereka ingin mendampingi kita. Mendekati golongan ini mestilah dengan cara penuh hekmah kerana kalau tidak kena caranya, mereka umpama burung merpati, makan ditangan ditangkap lari. Berikan ruang seluas-luasnya kepada graduan dan cerdik pandai untuk menyertai parti dan juga memegang jawatan penting dalam parti sebagai pengiktirafan. Dalam konteks pelajar lepasan SPM, yang umpama ke atas tak capai, ke bawah pun tak jejak, kerajaan hendaklah memperluaskan peluang untuk mereka mempelajari kemahiran berasaskan teknikal seperti mekanik, kimpalan, elektronik dan lain-lain kemahiran dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan beserta insentif elaun pengajian. Kini telah ada Giat Mara, Kolej Komuniti dan lain-lain institut kemahiran asas tetapi masih belum menyeluruh.

3. Ambil peduli dan prihatin terhadap pengundi muda. Dalam soal menangani kemelut kakitangan awam yang berstatus kontrak, kerajaan mestilah menyerapan mereka ke jawatan tetap selepas tamat kontrak 6 bulan kecuali bagi mereka tidak mencapai tahap prestasi yang cemerlang. Dalam soal menangani kemelut pekerja swasta yang diberhentikan kerja oleh majikan tanpa sebab yang munasabah, kerajaan mestilah menyerapkan mereka ke dalam perkhidmatan sektor awam mengikut bidang yang sesuai dengan kemahiran mereka.

UMNO mesti menyelami apa yang orang muda mahukan kerana selama ini kita silap, memaksa org muda mengikut kehendak kita sedangkan orang muda mahukan sebaliknya. Kalaulah dengan sukan boleh menarik sokongan orang muda, maka perbanyakkan program bentuk sukan. Kalaulah dengan hiburan boleh meraih populariti dimata orang muda, maka lambaklah program berbentuk hiburan yang tidak melampau. Tanyakan kepada mereka, apakah yang mereka mahu, jangan kita desak mereka ikut apa yang kita mahu. Kalaulah orang muda mahukan kerjaya, maka kerajaan mestilah menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan yang banyak dengan prasarana yang sesuai dengan matlamat berdasarkan aspirasi orang muda. Namun demikian, setiap program mestilah dilaksanakan dengan sungguh-sungguh beserta dana yang secukupnya melalui agensi-agensi kerajaan seperti Belia, KRT, JKKP, KEMAS dan lain-lain agensi kerajaan. Sehubungan itu, Pemuda mencadangkan agar parti menyalurkan peruntukkan tahunan RM100 ribu bagi setiap satu sayap Pemuda dan Puteri di peringkat bahagian untuk disalurkan kepada kedua-dua sayap ini untuk menjalankan program berkaitan orang muda. Pada masa sama, Pemuda dan Puteri mestilah berjalan seiring dan sederap dalam memenangi pengundi muda.

4. Memperkasa dan memperkemaskan Tadika KEMAS sebagai usaha jangka panjang untuk memenangi pengundi muda, BN dan UMNO khususnya hendaklah menggunakan pendekatan stategik iaitu membentuk pemikiran (mind setting) sebelum pemikiran golongan ini dibentuk dan dipesongkan oleh pembangkang. Mengambil contoh, kejayaan PAS membentuk pemikiran kanak-kanak seawal usia 5,6 dan 7 dengan mendoktrin pemikiran anak-anak ini melalui Tadika PASTI yang ternyata membuahkan hasil kepada pembangkang untuk jangka masa panjang. Percaya atau tidak, kejayaan yang dituai oleh PAS daripada sokongan padu pengundi muda pada PRU-12 yang lalu, bukanlah hasil yang diraih daripada usaha 2, 3 atau 4 tahun yang lalu tetapi kejayaan yang diraih hasil perancangan rapi dan pendekatan berkesan 20, 25 atau 30 tahun yang lalu. Pengalaman saya di universiti, berhadapan dengan golongan mahasiswa propembangkang, membuktikan teori ini adalah benar. Mereka cukup bangga dan bermegah dididik dengan cara sedemikian. 90% mahasiswa yang belajar di Tadika PASTI ketika di zaman kanak-kanak 20 tahun yang lalu, adalah penyokong tegar PAS dan pembangkang yang tidak mampu ditukar pemikiran mereka walau dengan apa cara sekali pun.

Oleh yang demikian, Pemuda mencadangkan agar kerajaan dan UMNO khususnya, memperkasa dan memperkemaskan Tadika KEMAS dengan modul yang mengarah kepada pembentukkan pemikiran yang akan mendorong anak-anak ini, apabila masuk universiti dan dewasa kelak akan menjadi penyokongan dan pendokongan tegar BN dan UMNO khususnya. Ajarkan asas sejarah dengan pendekatan psikologi kanak-kanak kerana pada usia semuda itu, membentuk pemikiran lebih mudah dan lebih senang diterima bulat-bulat oleh kanak-kanak. Doktrinkan kepada tenaga pengajar Tadika KEMAS dengan jiwa tegar perjuang agama, bangsa dan tanahair. Lantik tenaga pengajar dari kalangan ahli UMNO sahaja seperti mana PAS melantik tenaga pengajar Tadika PASTI hanya dari kalangan ahli PAS sahaja. Buangkan pemikiran bahawa Tadika KEMAS tiada kena mengena dengan UMNO dan politik.

5. Melaksanakan program Perkhemahan Ilmiah sebagai agenda tersirat untuk membentuk pemikiran remaja Melayu menjiwai agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanahair. Waajib kepada pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 yang beragama Islam untuk menghadiri perkhemahan ini. Terapkan program menggunakan modul BTN menceritakan tentang perjuangan bangsa bermula daripada zaman penentangan terhadap penjajah, menuntut kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan. Supaya akhirnya nanti, tertanam di sanubari, tersemat di hati, apabila ditanya siapakah yang menentang penjajah, mereka akan jawab Melayu, apabila ditanya siapa yang mencetuskan penentangan terhadap Malayan Union yang diperkenalkan oleh Inggeris, mereka akan jawab Melayu Dato’ Onn Jaafar melalui penubuhan UMNO, apabila ditanya siapakah UMNO itu, mereka akan jawab Melayu, apabila ditanya siapakah yang mempelopori usaha menuntut kemerdekaan Tanah Melayu, mereka jawab Melayu Tunku Abddul Rahman Putra Al-Haj Presiden UMNO ke-2, apabila ditanya kepada siapa hak istimewa di Tanah Melayu diberikan, mereka akan jawab hak istimewa itu Melayu yang punya, apabila ditanya parti manakah yang mengetuai kerajaan membangunkan negara ini, mereka akan jawab UMNO iaitu parti orang Melayu dan macam-macam lagi soalan yang maksudnya baik-baik, maka jawapan mereka sudah barang tentu Melayu dan UMNO. Inilah yang perlu kita doktrin dalam hati nurani orang muda.

Dan begitulah diperingkat universiti, kita wajibkan Kem BTN kepada mahasiswa-mahasiswi beragama Islam untuk memperkasakan jati diri dan melahirkan pejuang UMNO tulen demi agama, bangsa dan tanahair tercinta ini.

Begitulah juga kepada orang muda yang baru memasuki dunia pekerjaan terutamanya di sektor perkhidmatan awam, wajibkan kita bakar sampai membara semangat perjuangan demi agama, bangsa dan tanahair supaya nanti mereka tahu memainkan peranan membantu dan memperjuangkan untung nasib bangsa.

6. Menjadikan matapelajaran sejarah sebagai syarat wajib kredit dalam SPM dan STPM, bukan sekadar lulus seperti pada hari ini. Soalan-soalan hendaklah merangkumi 50% daripada soalan keseluruhan matapelajaran sejarah berkisar tentang zaman penentangan Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak terhadap penjajah dan bagaimana bangsa asing dibawa masuk ke Tanah Melayu sebagai pekerja lombong dan penoreh getah. Tanyakan soalan siapa yang melancarkan gerakan penentang penjajah, kalau bukan Melayu, tanyakan soalan pekerja dari negara China dibawa masuk oleh penjajah ke Tanah Melayu sebagai apa, kalau bukan untuk bekerja sebagai pekerja lombong, tanyakan soalan pekerja dari negara India dibawa masuk oleh penjajah ke Tanah Melayu sebagai apa, kalau bukan untuk bekerja sebagai penoreh getah. Tanyakan soalan apakah syarat hak istimewa orang Melayu sebagai balasan pemberian hak kerakyatan kepada orang Cina dan India sebagai prasyarat untuk mencapai kemerdekaan. Soalan-soalan sedemikian merupakan penerapan psikologi untuk memberi kefahaman kepada golongan ini supaya tidak meminta-minta melebihi daripada apa telah menjadi hak mereka dan mengambil daripada apa yang telah termaktub menjadi hak mutlak Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak.
Maka, saya Mohd Taufiq Ilhami b. Abdullah dari Pergerkan Pemuda UMNO Bahagian Puchong mohon mencadang.


Nama Penyokong : Salina Abd Aziz Wakil Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Puchong
Tajuk : Cabaran Memenangi Pengundi Muda Dalam Pilihanraya ke 13
Bismillah..
Alhamdulillah..
Assalamualaikum…

Yang Berbahagia Tuan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Yg Berhormat Dato’ Dr. Hj Muhamad Satim bin Diman selaku Ketua UMNO Bahagian Puchong, Timbalan Ketua Bahagian, Dato’ Raden Mokhtar Md Yusof, Naib Ketua Bahagian, Ir Rosli Idrus, Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, Ustz Azmir, Ketua Pergerakan Wanita Bahagian,Puan Ainon Imbi, Ketua Pergerakan Puteri Bahagian, Cik Siti Nozilah Sakimin, Saf-saf Kepimpinan, Pemuda,Wanita & Puteri Bahagian, para perwakilan, para pemerhati, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.
Saya Salina Bte Abd Aziz, yg mewakili Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Puchong menyokong usul Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Puchong yang bertajuk :-

“Cabaran Memenangi Pengundi Muda dalam Pilihanraya ke 13.”
Tuan Pengerusi Tetap,
Dengan ini izinkan saya untuk menyampaikan sokongan pada usul yang telah dibawa oleh Pergerakan Pemuda.

Sidang perwakilan sekalian,
Golongan muda adalah golongan pelapis negara yang perlu dijaga dan diberi perhatian untuk memenangi Pilihanraya ke
13 akan datang.

Oleh itu, Barisan Nasional yang mana UMNO sebagai tunggaknya perlu mengambil langkah yang lebih tegas, cepat dan dekat dengan hati golongan muda ini.

Kerana, apa yang kita lihat kekalahan pilihanraya ke12 yang lepas adalah dipeti-peti undi golongan muda.

Para perwakilan yang dihormati sekalian,
Untuk merampas kembali Negeri Selangor ke tangan Barisan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah, kepimpinan Umno sebagai tunggak kepada Barisan Nasional haruslah mengambil anisiatif untuk menawan hati golongan muda ini untuk menyokong kita.

Jika difikirkan, pendidikan adalah faktor yang sangat penting dalam mengubah persepsi negatif golongan muda terhadap kepimpinan Barisan Nasional.

Umno yang menjadi tunggak kepada Barisan Nasional perlu di ‘educated’kan. Dengan kata lain, perlu di’sekolah’kan. Sebagai pemimpin yang akan menjadi ikon atau ‘role model’ kepada golongan muda ini, mereka haruslah menunjukkan kualiti kepimpinan yang cemerlang, bijak dan telus.

Selain itu sikap pemimpin itu sendiri harus diubah. Tunjukkan sikap mesra rakyat, prihatin, dan mudah didekati oleh golongan muda, dalam apa jua program yang dianjurkan diperingkat akar umbi.

Sidang hadirin sekalian,
Selain itu, sikap ahli-ahli Umno yang suka berpuak-puak dan benci-membenci haruslah dikikis. Sikap ini akan menjadikan sesebuah parti itu berpecah belah. Jika kita dapati di bahagian kita sendiri, ada dikalangan ahli-ahlinya yang hidup berpuak-puak sehingga ada perasaan benci- membenci diantara satu sama lain.

Untuk apa semua itu?

Dimanakah congankata Umno itu diletakkan? Dan adakah kita sebagai ahli UMNO menjiwai congankata tersebut? yang hanya 3 perkataan sahaja.

BERSATU, bersatukah kita?

BERSETIA,bersetiakah kita?

BERKHIDMAT,berkhidmatkah kita kepada parti keramat ini?

Bagaimana kita mahu menjadi parti yang dipandang tinggi oleh golongan muda, jika kita masih mengamalkan cara ini. Fikirkanlah, tuan-tuan dan puan-puan sidang perwakilan yang dihormati sekalian.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Jika kita melihat situasi pada masa kini, terlalu banyak longgokan graduan-graduan universiti yang terpinggir. Mereka kurang didedahkan mengenai UMNO. Sehinggakan mereka tidak berterima kasih diatas bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka semasa melanjutkan pelajaran diuniversiti dahulu.

Itulah sebabnya, mereka menyokong parti lain. Peluang yang diambil oleh parti lain, telah mengubah pemikiran mereka terhadap UMNO.

Kemanakah hilangnya Persatuan Mahasiswa Selangor? Sudah terkuburkah? Mengapa tidak UMNO mengambil peluang mendekati golongan muda ini, dengan menganjurkan program-program yang berkaitan melalui pesatuan ini.

Mungkinkah kita terlalu leka dengan kesenangan yang telah kita kecapi pada masa dahulu, sehingga kita lupa dengan golongan pelapis yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Dengan ini, saya wakil Pergerakan Puteri Umno Bahagian Puchong menyokong usul yang dibawa oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Puchong ini.

Dan kita mengharapkan, kepimpinan diatas bangkit dan melaksanakan cadangan-cadangan yang diusulkan. Jangan jadikan usul ini hanya sebagai satu pelengkap aturcara dalam persidangan sahaja.

Cadangan-cadangan ini haruslah direalisasikan di setiap cawangan. Jentera-jentera yang berada di cawangan haruslah bersatu hati untuk menarik golongan muda yang ada disekeliling kita untuk mendekati Umno,

kerana...

MENYEDARI bahawa Barisan Nasional dan Umno harus proaktif dalam menangani politik persepsi yang digunakan oleh pembangkang. UMNO mestilah berterusan dan konsisten dalam memperkatakan sesuatu persepsi negatif di pihak pembangkang, supaya akhirnya diterima dan difahami oleh golongan muda.

MENGINSAFI bahawa, kuasa pengundi muda juga adalah sangat penting untuk kita memenangi Pilihanraya ke 13 akan datang. Program-program yang lebih mendedahkan mereka terhadap jatidiri, haruskan dilaksanakan dan diteruskan agar ‘sense of belonging’ sebagai ahli Umno yang kental tersemat didalam diri golongan muda kini.

MENYAKINI bahawa masih ada masa dan peluang untuk Umno mendekati dan memenangi hati pengundi muda. Marilah kita bersatu hati dan tenaga dalam mengharungi cabaran politik yang semakin mencabar, bagi merampas kembali kuasa dan hak-hak Orang Melayu yang semakin hilang ditampuk kepimpinan pembangkang.

Akhir kata, saya ingin membawa kata-kata Dato Seri Presiden UMNO yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor iaitu Selangor mesti dikembalikan semula ke tangan Barisan Nasional kerana Negeri Selangor ini penting sebagai nadi Negara.

Beliau juga mengatakan peluang untuk Barisan Nasional berkuasa semula di Selangor tetap ada,tetapi dengan syarat parti-parti komponan yang diterajui Umno sudah insaf dan menyedari kekurangan diri dan sanggup berubah.

Selain daripada itu, Umno tidak boleh mempunyai perasaan benci kepada orang lain dalam keluarga Barisan Nasional.

Berjuang bersama-sama, berganding bahu, secara seia, sekata, dan sehaluan. Dan akhir sekali, amaran Dato Seri Presiden Umno menyatakan Kalau nak menang,buat cara nak menang, jangan kita nak menang, tapi perbuatan kita menempah kekalahan, anda fakir-fikirlah sendiri…

Wabilahitaufik walhidayah…..

Isnin, 24 Ogos 2009

Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Puchong Selangor D.Ehsan 2009
Tarikh : 15hb.Ogos 2009(sabtu) Tempat: IOI Palm Garden Resort Putra Jaya.






MESYUARAT PERWAKILAN PERGERAKAN PUTERI UMNO BAHAGIAN PUCHONG 2009
TARIKH
15HB. OGOS 2009 (SABTU)
BERTEMPAT
IOI PALM GARDEN RESORT PUTRAJAYA
DIRASMIKAN OLEH
YB.DATO'DR.HAJI MOHAMAD SATIM BIN DIMAN
KETUA UMNO BAHAGIAN PUCHONG/ADUN.SELANGOR N.29 SERI SERDANG

Kata-Kata Aluan
Ketua Pergerakan Puteri
UMNO Bahagian Puchong Selangor D.Ehsan

Alhamdullilah, dengan izin Allah S.W.T dan limpah kurnia darinya saya berpeluang untuk menitip sepatah dua kata dalam ruangan ini sempena Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Puchong kali ke 6 tahun 2009. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua Pergerakan Puteri UMNO Cawangan-Cawangan pada tahun 2008/2009. Setinggi-tinggi penghargaan daripada saya kepada saudari-saudari yang dipilih sebagai Perwakilan kerana anda semua merupakan wakil yang diamanahkan bagi bersama-sama berkongsi idea, pandangan dan harapan akar umbi bagi meneruskan perjuangan kita terhadap parti keramat yang kita cintai.

Setahun telah berlalu selepas PRU 12, dan telah 8 bulan saya menerajui kepimpinan Puteri UMNO Bahagian Puchong, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh Ahli Jawatan kuasa dan seluruh ahli Puteri UMNO dalam menjayakan program-program yang diadakan. Saya percaya fenomena selepas PRU12 ini telah banyak mengajar dan mematangkan lagi setiap ahli Puteri UMNO.

Saya ingin menyeru kepada semua ahli Puteri supaya bersabar dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran dibawah suasana pemerintahan pembangkang. Tangani lah setiap inci kemelut yang mendatang dengan bijak, jangan mudah melatah. Lengkapkan jentera sayap termuda ini dengan semangat dan kekuatan mental serta tanamkan dalam hati setiap ahli Puteri agar tetap berdiri di belakang satu-satunya parti keramat yang memertabatkan kepentingan politik orang Melayu yang menjunjung islam sebagai agamanya.

Dalam tempoh yang ada menjelang pilihan raya umum ke 13 ini, marilah kita tingkatkan azam dan kuatkan semangat untuk berkerja keras kearah matlamat untuk menguatkan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional. Di bahu kita lah yang akan menentukan masa depan anak bangsa dan UMNO sendiri sama ada akan terus mencipta dan melakarkan sejarah atau pun menjadi sebahagian dari lipatan sejarah Malaysia.

Harapan saya semoga kepimpinan baru yang dipilih ini sedia berkerja lebih keras bersama
sama saya untuk meneruskan kesinambongan perjuangan yang kian getir ini serta dapat memacu hala tuju Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Puchong ke tahap yang lebih tinggi.

Siti Nozilah Sakimin
Ketua Pergerakan Puteri
UMNO Bahagian Puchong

MESYUARAT PERWAKILAN PUTERI 2009


MESYUARAT PERWAKILAN PERGERAKAN PUTERI UMNO BAHAGIAN PUCHONG 2009
TARIKH
15HB. OGOS 2009 (SABTU)
BERTEMPAT
IOI PALM GARDEN RESORT PUTRAJAYA
DIRASMIKAN OLEH
YB.DATO'DR.HAJI MOHAMAD SATIM BIN DIMAN
KETUA UMNO BAHAGIAN PUCHONG/ADUN.SELANGOR N.29 SERI SERDANG


Perutusan Ketua UMNO Bahagian Puchong.

Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan kurniaan rahmat darinya kita berpeluang sekali lagi berhimpun untuk menunaikan agenda yang termaktub dalam perlembagaan UMNO iaitu Mesyuarat Pergerakan Puteri UMNO Puchong kali ke 6 tahun 2009.

Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua Puteri cawangan yang telah berjaya melaksana kan tanggung jawab mengadakan Persidangan Tahunan Cawangan dengan lancar. Pergerakan Puteri UMNO Bahagian perlu mengambil inisiatif untuk meningkat kan keahlian dan jumlah Puteri Cawangan yang boleh bersidang supaya lebih ramai lagi ahli-ahli Puteri dapat bersama-sama didalam Mesyuarat Perwakilan yang akan datang.

Ini kerana dalam perhimpunan beginilah kita dapat menyampai kan mesej, penerangan serta maklumat penting berkaitan perkembangan terkini parti keramat ini kepada ahli-ahli Puteri UMNO. Berbekalkan pengetahuan yang disalurkan, Puteri UMNO akan lebih peka dan tidak akan kabur bila berhadapan dengan isu-isu berkaitan parti atau pun pentadbiran semasa.

Sidang perwakilan yang saya hormati.......maklumat terkini yang kita dapat ialah berkenaan dengan gerakan pendaftaran pemilih yang telah dilakukan oleh Pihak parti lawan kita. Pada masa ini peratusan pengundi Melayu telah jatuh lebih kurang 48% dan pada saya ini satu petanda yang tidak baik. Kita ahli-ahli UMNO asyik dengan politicking kita dalam Bahagian tetapi kita lupa untuk mendaftar pemilih yang baru atau pindah kan mereka-mereka yang bermastautin di sini tetapi tidak mengundi di sini.

Sekiranya peratusan pengundi Melayu tidak mencapai 50% ke atas, janganlah kita berharap untuk mendapat tempat di DUN kita ini walau pun daripada parti pembangkang. Oleh itu saya menyeru semua ahli UMNO agar bangkit dan bergerak cergas mendaftar pemilih baru demi Agama Bangsa dan Tanah Air yang di cintai

Sidang perwakilan..... jangan sampai bumi yang di cintai ini, hak orang Melayu jatuh ke tangan orang lain dan kita menjadi pengemis di tanah air kita sendiri dan sumpah anak cucu kita nanti.

BERSATU BERSETIA BERKHIDMAT

Ahad, 23 Ogos 2009

KENYATAAN KEDUA YUSRI



Tujuan saya untuk bertemu pihak media adalah untuk menjelaskan beberapa kekeruhan yang timbul akibat penampilan saya minggu lalu. Saya mendapat banyak reaksi dan spekulasi daripada pelbagai pihak. Jadi saya tampil untuk menjelaskan bahawa kenyataan akhbar tersebut diadakan dengan iniasiatif saya sendiri dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan ianya dibuat untuk membersihkan nama baik saya dan keluarga. Untuk itu, saya mempertahankan segala kenyataan yang saya buat sebelum ini.

Di pihak saya, saya menganggap kes ini sudahpun selesai. Namun apa yang saya perhatikan, sejak 20 Ogos yang lalu, pelbagai tohmahan telah dilontarkan yang mana menyimpang daripada tujuan asal saya membuat kenyataan akhbar. Keadaan ini membuatkan saya terpanggil untuk membuat sidang akhbar ini kerana saya merasa sedih melihat serangan-serangan peribadi yang dilakukan terhadap Rohaizat.

Secara tidak langsung saya merasa dibabitkan sama di dalam usaha-usaha memburuk-burukkan Rohaizat. Tetapi apabila keadaan semakin buruk dan Rohaizat dikeji sedemikian rupa, saya merasa menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan kedudukan saya selanjutnya dan juga menyampaikan apa yang saya rasa.

Saya tidak boleh berdiam diri apabila melihat kenyataan saya tempoh hari digunakan tanpa henti terhadap Rohaizat, seorang manusia yang saya kenal secara peribadi adalah seorang yang baik hati.

Saya juga sedar walaupun dia telah melakukan kesilapan, dia telah membetulkannya dan pihak Koperasi Pekebun Getah Pulau Pinang juga telah menarik balik tuntutan mereka terhadapnya. Saya tidak berniat untuk menganiaya atau menyokong sesiapa. Apa yang telah terjadi harus dijadikan tauladan, bukan hukuman.

Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, Rohaizat adalah kawan saya, saya tahu hati budinya dan dia anak jati Permatang Pasir. Dia sendiri telah lama menabur bakti di sini. Jika orang seperti Rohaizat dibiarkan dikeji dan dirosakkan nama baiknya semata-mata untuk kepentingan politik, akan hancurlah hidup seorang lagi manusia yang boleh membawa perubahan yang baik kepada masyarakat setempat.

Semasa saya tampil ke hadapan tempoh hari ialah kerana saya merasa marah dan kecewa kerana saya dijadikan kambing hitam di dalam kes yang membabitkan Koperasi itu. Kerana itu kenyataan terbuka dibuat semata-mata untuk mempertahankan diri saya dan menjelaskan apa yang telah berlaku. Malangnya, usaha saya untuk menjelaskan kedudukan saya di dalam kes itu telah digunakan untuk menghentam dan memburuk-burukkan Rohaizat habis-habisan.

Saya yakin akan timbul tuduhan bahawa saya mendapat ganjaran dan habuan untuk tampil membuat kedua- dua kenyataan akhbar ini. Sebanyak mana wang dan harta dunia sekalipun tidak akan dapat membeli saya untuk menggadai bangsa, agama dan negara saya.

Sebagai seorang Islam dan warganegara yang bertanggungjawab, saya cuma ingin menyatakan apa yang berlaku, tanpa takut atau mengharapkan balasan ataupun dieksploitasikan oleh mana-mana pihak.

Saya percaya rakyat mengharapkan budaya politik yang sihat dan mencerminkan kematangan bangsa yang telah merdeka selama 52 tahun. Pembangunan dan kestabilan negara yang telah dicapai selama ini tidak harus dilupakan begitu sahaja.

Tujuan kenyataan akhbar saya ini bukanlah untuk mendapat publisiti atau untuk mana-mana pihak mengeksploitasi apa yang terjadi. Bersempena dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru semua pihak agar sama-sama bermuhasabah diri dan menghindarkan sengketa sesama kita.

Janganlah kita keji-mengeji, hina-menghina, fitnah - memfitnah sesama Islam kerana ia akan mendatangkan perpecahan yang boleh mengancam kepentingan kita bersama.

Percayalah, di dalam bulan Ramadan yang mulia ini apa yang saya lakukan adalah kerana desakan hati nurani saya.

Sekian terima kasih.

Yusri Ishak.